Tradisi-kontemporari asas rekaan Bingka, adaptasi budaya pop Malaysia tarik minat pembeli luar negara


  • Gaya
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Aksesori dan kelengkapan rumah keluaran Bingka menampilkan rekaan beridentiti Malaysia. — Instagram/bingka.kl

TIDAK semua orang selesa menggayakan batik, songket atau tenun dalam kehidupan seharian.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, pakaian tradisi itu hanya dipakai pada majlis tertentu seperti perkahwinan atau sambutan rasmi.

Menyedari kekangan itu, Bingka mengadaptasi budaya kehidupan seharian rakyat Malaysia dalam rangkaian aksesori dan kelengkapan rumah yang direka secara kontemporari. 

BACA LAGI: Kostum Bajau Sama 'mendunia', rekaan Mell Sulaiman pernah 'terbang' ke Switzerland, London, Qatar

BACA LAGI: Nafkah anak isteri terabai, peguam syarie jelaskan prosedur pemotongan gaji suami dan bekas suami mengikut akta undang-undang keluarga Islam

Adrihana Abdul Rashid.

Menurut pengasasnya, Adrihana Abdul Rashid, 36, matlamat utama tersebut ialah memastikan budaya tempatan boleh dinikmati dengan cara yang mesra dan tidak janggal.

"Kami nak pembeli menggayakan budaya Malaysia dengan cara yang semula jadi dan tak kekok, iaitu melalui aksesori dan kelengkapan rumah.

"Di mana jua mereka berada, mereka akan membawa hasil karya seniman Malaysia sekali," katanya kepada Majoriti.

Dari batik ke silk screen

Bingka mula bertapak sekitar 2015. Pada awalnya, pemegang ijazah Kejuruteraan Mekanikal itu dan pasukannya cuba menghasilkan baju batik, namun mendapati proses itu memerlukan kemahiran khusus, kos tinggi serta pemasaran yang sangat sengit.

"Batik adalah seni yang sangat susah untuk dipelajari sendiri dan mengambil masa lama untuk dikuasai. Jadi kami mencari cara lain yang lebih praktikal," jelasnya sambil menambah bahawa mereka akhirnya beralih kepada penghasilan produk cenderamata menggunakan teknik silk screen.

Menurutnya, pengeluaran hasil melalui teknik silk screen lebih cepat, mudah dan boleh dilakukan dalam kuantiti kecil.

Kaedah itu juga memberi ruang kepada pasukan Bingka untuk bereksperimen dengan lebih banyak idea.

 

Simbolik Bingka

Mengulas mengenai pemilihan nama jenama, anak Kuala Lumpur berkenaan menjelaskan bahawa 'Bingka' dipilih kerana ringkas, mudah disebut oleh pelancong luar negara dan tetap dekat dengan identiti Malaysia.

Kuih tradisional itu dianggap simbolik kerana walaupun masa bersilih ganti, ia masih relevan dan sentiasa menjadi tarikan masyarakat.

Justeru, mereka mahu mengekalkan nilai yang sama dalam setiap produk mereka, iaitu kekal dekat dengan masyarakat sepanjang zaman.

Buatan Malaysia

Bercerita lanjut, apa yang membezakan Bingka daripada jenama lain ialah komitmen menghasilkan rekaan dan pembuatan produk sepenuhnya di Malaysia.

"Kebanyakan jenama lain akan hantar design mereka ke luar negara untuk jimat kos.

"Tapi kami mahu menaikkan martabat penghasilan dalam negara sendiri. Walaupun prosesnya lebih leceh, hasilnya tetap disukai ramai," katanya.

Rekaan Bingka banyak mencerminkan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Daripada makanan tradisi, seni estetika sehinggalah budaya kecil yang sering terlepas pandang.

Setiap produk membawa kisah tersendiri yang dekat dengan pengguna, menjadikannya bukan sekadar hiasan tetapi juga peringatan tentang identiti tempatan.

Sokongan tempatan dan antarabangsa

Sokongan pelanggan tempatan masih wujud, namun Adrihana mengakui ia datang daripada kelompok tertentu.

"Pelanggan antarabangsa sebenarnya lebih besar buat kami. Negara seperti Jepun, China dan England sudah terbiasa dengan penghargaan terhadap seni, jadi mereka lebih cepat faham nilai produk kami," jelas anak sulung daripada tiga beradik itu.

Namun, beliau mengakui untuk mengekalkan identiti Malaysia sambil kekal relevan bukan tugas mudah.

"Maklumat tentang seni tempatan sangat terhad. Kadang-kadang nak dapat data seni ni lebih susah daripada buat tesis PhD.

"Tapi sebagai jenama retail, kami tetap perlu kejar petunjuk prestasi Utama (KPI) dan hasil jualan.

"Kami bukan amal jariah, maka untuk teruskan perjuangan, kewangan kukuh sangat penting," katanya.

Sempena Hari Malaysia, Adrihana menekankan rasa bangga kerana Bingka telah bertahan selama satu dekad.

"Sedekad bergelumang dalam industri ini bukan mudah, tetapi kami bangga kerana masih bertahan, masih berinovasi dan masih membawa nama Malaysia ke pasaran antarabangsa," ujar beliau.

Beliau turut menitipkan harapan agar generasi muda lebih menghargai seni dan identiti negara.

"Generasi muda perlu kenal hasil karya nenek moyang mereka, sambil melahirkan idea baharu yang sesuai dengan zaman sekarang. Jangan biarkan identiti kita lupus dan hilang begitu saja," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram