Hati-hati Imigresen, Luqie sedia bantu NSFC gegarkan Batu Kawan


  • Podium
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Luqman Hakim kini sibuk untuk kembali ke tahap kecergasan terbaik. — Facebook/Negeri Sembilan FC

SEHINGGA hari ini, peminat terus menantikan kepulangan semula penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin di atas padang selepas bertahun-tahun berkelana di luar negara.

Dia yang bersinar bersama skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara pada 2018 mencuri tumpuan media antarabangsa yang meletakkanya sebagai antara prospek berbakat besar.

Tidak lama kemudian, Luqman menerima tawaran dari kelab Belgium, KV Kortijk dengan perpindahan tersebut menjadi buah mulut peminat yang mendambakan reputasinya terus berkembang di Eropah.

BACA LAGI: Luqman, ikon Kedah dan bek kental JDT berdepan musim ‘revival’ di Liga Super

BACA LAGI: Lagu 'Dia milik orang' berkumandang, 3 kelab kempunan sambar bintang sasaran termasuk Luqman Hakim-Ibrahim Manusi

Nama Luqman mula kedengaran selepas menampilkan bakat bersama pasukan remaja negara.

Bagaimanapun, harapan itu tidak kesampaian selepas isu kecederaan berulang menyaksikannya gagal menembusi pasukan utama sehingga memaksanya dipinjamkan ke kelab Iceland dan Jepun.

Menyedari cabaran hebat di luar negara, Luqman akhirnya memilih untuk kembali ke Liga Super dan menyertai Negeri Sembilan FC pada jendela perpindahan lalu.

Langkah diambil itu adalah sesuatu yang relevan kerana skuad Jang berada dalam fasa pembangunan semula selepas rombakan badan pengurusan dan barisan kejurulatihan.

Namun, sehingga kini, penyerang berusia 23 tahun berkenaan masih belum turun beraksi dengan ketua jurulatih, Nidzam Jamil menyatakan isu kecergasan menghalangnya daripada diturunkan.

Keputusan berkelana ke Eropah tidak membawa sebarang impak buat Luqman Hakim. — Agensi

Penantian itu seperti akan berakhir tidak lama lagi selepas baru-baru ini, pemain muda itu berada dalam skuad yang akan berkelana ke Utara tanah air bagi menentang Imigresen FC.

Kelibat penyerang tersebut mula menimbulkan harapan buat peminat Negeri Sembilan FC yang mengharapkan debutnya buat kelab itu pada Sabtu.

"Luqman Hakim turut serta bagi aksi tempat lawan di Pulau Pinang. Mungkinkah dia akan diturunkan untuk penampilan pertama bersama Negeri Sembilan FC bertemu Imigresen? Kita nantikan," tulis Allong Shahrizan.

"Luqie (Luqman Hakim) itu kalau dimasukkan pada 10 minit terakhir pun OK. Jangan ditekan sangat, risau semakin lama pula dia cedera," kata Dak Bang.

Luqman Hakim berada bersama pasukan yang berkelana ke Pulau Pinang. — Facebook/Negeri Sembilan FC

"Harapnya dapatlah Luqman beraksi, sudah lama nak tengok dia bermain. Masuk sebagai pemain simpanan pun sudah cukup," kata Zamri Karim.

Kemenangan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang boleh meletakkan skuad Jang sehingga ke kelompok lima teratas Liga Super sementara menunggu keputusan perlawanan lain.

Meskipun hanya dapat menduduki kedudukan baik sementara waktu, ini akan menyuntik semangat buat Negeri Sembilan FC untuk terus memberi tentangan sepanjang musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram