Luqman, ikon Kedah dan bek kental JDT berdepan musim ‘revival’ di Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Dari kiri: Ifwat, Luqman dan Syahmi berdepan musim penting dalam karier mereka di Liga Super.

SEPAK mula untuk musim baharu Liga Super semakin hampir dengan kesemua kelab sedang sibuk menyiapkan skuad masing-masing.

Tumpuan nyata terarah kepada keluar masuk pemain baharu terutamanya pemain import, namun tidak dinafikan beberapa pemain tempatan juga turut menarik perhatian.

Musim ini amat penting bagi sesetengah pemain dengan beberapa bintang tempatan berdepan tempoh revival dalam karier mereka.

BACA LAGI: Saya tak boleh jamin Fazly Mazlan ada tempat di Selangor — Kinoshi

BACA LAGI: Gyokeres boleh cemerlang di Arsenal jika ikut DNA ikon Sweden di EPL

Luqman Hakim (Negeri Sembilan)

Satu nama yang menjadi tumpuan di Liga Super musim ini adalah penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim.

Selepas lima tahun berkelana di luar negara, Luqman kembali ke Malaysia dengan pemain itu bakal menjadi taruhan utama Nidzam Jamil di bahagian serangan.

Luqman kembali ke Malaysia selepas lama beraksi di luar negara.

Selepas mengharungi tempoh turun naik di luar negara, musim ini dilihat sebagai peluang untuk Luqman mendapatkan semula ketajamannya serta kembali menjadi penyerang tempatan disegani.

Sudah pasti namanya akan menjadi tumpuan sama ada mampu atau tidak membawa Negeri Sembilan ke posisi lebih baik dalam Liga Super pada musim ini.

Syahmi Safari (Johor Darul Ta'zim)

Satu nama yang tiba-tiba tenggelam dan kini dijangka akan muncul semula adalah bek kental Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Syahmi Safari.

Sebelum ini, namanya sering dilihat beraksi untuk Harimau Selatan dalam pelbagai aksi tempatan dan antarabangsa namun malang menimpa Syahmi apabila dia mengalami kecederaan serius.

Syahmi terlepas majoriti musim 2024/2025 akibat kecederaan.

Kecederaan itu menyebabkan Syahmi terpaksa menamatkan musim 2024/2025 lebih awal, namun pemain itu dijangka cergas untuk mengharungi musim baharu.

Cabaran Syahmi nyata mencabar untuk kembali ke kesebelasan utama JDT apabila kelab itu kini dipenuhi dengan pemain baharu berdarah warisan.

Ifwat Akmal (PDRM)

Nama terakhir yang dilihat turut mengharungi musim revival pada musim ini adalah penjaga gol baharu PDRM FC, Ifwat Akmal.

Ifwat buat pertama kalinya menyertai kelab baharu selepas meninggalkan Kedah Darul Aman dengan penjaga gol itu sebelum ini sering menjadi pilihan kedua bersama Sang Kenari.

Ifwat kini bersama PDRM.

Bersama Sang Saka Biru, Ifwat berpeluang untuk bermula semula dan mencari semula prestasi lamanya yang pernah meletakkannya dalam skuad kebangsaan.

Musim ini sangat penting untuk beberapa pemain tempatan kita, mampukah mereka mengharunginya dengan cemerlang? Kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram