
SEBANYAK enam pasukan sudah boleh mencongak persiapan terbaik selepas berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA 20252-2026 selepas mempertaruhkan aksi masing-masing dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 minggu lalu.
Penang FC, Terengganu FC (TFC), Kuching City FC, Negeri Sembilan FC (NSFC), Selangor FC dan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC mengesahkan slot mereka ke suku akhir yang dijangka bermula pada Oktober depan.
Pertembungan Negeri Sembilan FC dan Selangor FC di pentas suku akhir antara yang bakal mencuri tumpuan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan terutamanya selepas dua kelab itu mempamerkan persembahan yang mengujakan di pentas Liga Super sebelum ini menyaksikan Selangor tewas 1-2 kepada anak buah Nidzam Jamil.
BACA LAGI: Bekalan selesa 5 gol, tak salah Nidzam Jamil turunkan 3 senjata 'terpendam'
BACA LAGI: Cuma dibezakan 2 mata, bukan Selangor saja boleh cabar juara bertahan Liga Super, lagi-lagi TRW
Bagi Nidzam, aksi di suku akhir sudah tentu tidak mudah dan mereka perlu menggunakan masa yang ada untuk mempersiapkan mental dan fizikal kerana masih banyak yang perlu diperbaiki selepas tewas 0-1 kepada PDRM FC dalam aksi timbal balik.
"Paling penting, kami layak ke suku akhir tetapi banyak corak permainan yang perlu diperbetulkan sebab untuk kalah di aksi timbal balik ini menunjukkan masih ada yang harus dibuat.
"Kena banyak betulkan terutamanya daripada aspek sepakan penjuru, dan kena tengok balik video untuk macam mana hadapi situasi seperti ini, kalau kurang fokus sikit, memang akan dihukum," jelasnya.
Pengendali skuad Jang, Nidzam Jamil. — Facebook/NSFC
Selain perlawanan Negeri Sembilan dan Selangor, satu lagi aksi yang dijangka sengit adalah Terengganu FC yang bakal berdepan Kuching City FC.
Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan besar aggregat 9-4 ke atas DPMM FC nyata beri kepuasan kepada beliau selain mengharapkan barisan pemain terus konsisten kerana bakal menghadapi perlawanan lebih sukar di suku akhir.
Baginya, kebangkitan yang ditampilkan oleh anak buahnya untuk memastikan slot suku akhir dalam genggaman membuktikan kerja keras pemain yang mengikut perancangan meskipun lawan mempunyai kelebihan satu gol terlebih dahulu.
Ketua Jurulatih skuad The Cats, Aidil Sharin Sahak. — Facebook/KuchingCity
"Alhamdulillah tahniah kepada semua pemain yang telah berjuang dan kelainan yang diberikan adalah mereka tahu apa yang perlu dibuat, ikut perancangan, selain kita ada penyokong yang hebat di belakang.
"Tapi kita tahu perlawanan-perlawanan akan datang bukan mudah, dan kita akan kembali ke aksi Liga Super pula di mana akan berlawan dengan Selangor FC, jadi saya mengharapkan pemain dapat menunjukkan kualiti untuk terus konsisten," katanya.
Dua lagi aksi timbal balik pusingan 16 yang masih belum berlangsung adalah Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang UM-Damansara United yang akan diadakan pada 2 Oktober manakala Sabah FC yang akan berdepan Bunga Raya FC pula akan ditentukan semula tarikh baharu selepas ditunda susulan cuaca teruk minggu lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram