
PERSEMBAHAN ditonjolkan anak-anak buah Peter Cklamovski semasa menundukkan Palestin dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin sememangnya layak dipuji.
Gol tunggal daripada penyerang, Joao Figueiredo memastikan kemenangan 1-0 diraih Harimau Malaya untuk meletakkan mereka di kedudukan ke-122 dunia berdasarkan perkiraan semasa.
Keputusan itu turut menyaksikan skuad kebangsaan menamatkan penantian 24 tahun untuk menundukkan negara dari Timur Tengah tersebut selepas kali terakhir berbuat demikian semasa kempen Kelayakan Piala Dunia 2022.
BACA LAGI: Syafiq, Quentin, Nik Shariff, Azrif Nasrulhaq 'anugerah pinjaman' kesayangan penyokong
Kemenangan ke atas Palestin akan melonjak kedudukan negara dalam ranking FIFA. — Facebook/Malaysia NT
Pujian terbesar sememangnya diberikan kepada penjaga gol, Syihan Hazmi yang bertindak cemerlang sepanjang perlawanan dalam memastikan kubu negara tidak dibolosi.
Beberapa aksi tangkas ditonjolkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sepanjang 90 minit permainan, terutamanya di babak kedua permainan ketika Palestin melakukan asakan bertali-arus.
Persembahan cukup memukau daripada penjaga gawang itu sekali gus menyaksikannya diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan dengan penyokong turut bersetuju dengannya.
Namun, ada pula berpandangan terdapat calon lebih baik untuk meraih anugerah itu dengan nama bek kanan, Quentin Cheng merupakan yang kerap disebut-sebut atas kecemerlangannya dari segi pertahanan mahupun serangan.
Syihan mempamerkan beberapa aksi tangkas untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi. — Facebook/Malaysia NT
Sumbangannya cukup besar dalam perlawanan tersebut apabila hantaran lintang rendah memberi peluang buat Figueiredo untuk menewaskan penjaga gol lawan, Rami Hamadeh.
Kehadirannya sebagai pertahanan kanan turut menjadi kunci di sebalik kejayaan negara mengekalkan 'clean sheet' dengan kedua-dua peranan itu menyaksikannya layak diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan.
"Syihan memang selayaknya, tetapi dalam masa sama, Quentin pun menyerlah. Paling penting sekali, semua pemain fokus dan berdisiplin ketika bertahan. Mungkin ini taktikal dari jurulatih untuk uji barisan pertahanan untuk separuh masa kedua," kata Chai Yung Chen.
"Quentin Cheng pun layak diberikan kredit cukup besar. Hantaran dia memang berkualiti, hampir-hampir juga Gabriel (Palmero) jaringkan gol," kata Muhd Haziq Afellay.
Quentin (kiri) beraksi cemerlang dalam aspek serangan dan pertahanan. — Facebook/Malaysia NT
"Quentin memang dah nampak semakin baik dalam beberapa perlawanan, itulah kenapa jurulatih memberi kepercayaan kepadanya. Semua yang dipilih sudah jalankan tugas," tulis Mazliah Seniwal.
Bek Selangor FC itu sudah mengumpul 10 penampilan antarabangsa sejak mencipta debut pada 2021 meskipun terdapat persaingan hebat di posisi berkenaan.
Sekiranya dapat meneruskan konsistensi, dia sudah tentu berada dalam pelan Cklamovski untuk perlawanan akan datang berdepan Laos bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram