
SENARAI akhir 25 pemain skuad Bawah-23 Tahun (B-23) dipanggil jurulatih, Nafuzi Zain menyertai kem latihan pusat menjelang saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 1 hingga 9 September ini.
Skuad Harimau Muda diundi dalam Kumpulan F bersama tuan rumah Thailand, Lubnan dan Mongolia dalam saingan penting yang akan menentukan slot ke kejohanan akhir di Uzbekistan tahun hadapan.
Kem latihan pusat skuad muda tanah air akan bermula pada Ahad (17 Ogos) sebelum pasukan berlepas ke Bangkok pada keesokan harinya untuk sesi latihan intensif sehingga 31 Ogos.
BACA LAGI: ACLE: Pertembungan panas JDT-Buriram United berpotensi berlaku seawal peringkat kumpulan
BACA LAGI: Bangkit selepas tewas kepada JDT, kami belajar dari kesilapan — Deeromram
Senarai nama 25 pemain yang dipanggil untuk bersama skuad Harimau Malaya B-23 tahun kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain. — Facebook/Malaysia NT
Mengikut jadual, skuad Harimau Muda akan membuka kempen kelayakan menentang Lubnan pada 3 September, diikuti aksi kedua menentang Mongolia (6 September) dan perlawanan terakhir menentang Thailand pada 9 September.
Bagaimanapun, pengumuman senarai pemain itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong apabila dua tonggak utama, Fergus Tierney (Sabah FC) dan Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC) tidak disenaraikan.
Tindakan tersebut pantas mencetuskan reaksi di media sosial dengan rata-rata peminat mempersoalkan keputusan tersebut memandangkan kedua-dua pemain masih layak dari segi umur.
"Mana Ubaidullah? Sudah lepas had umur ke?," tulis Mohd Redzuan Mohd Noor.
"Macam ada yang kurang. Fergus Tierney sudah lebih umur ke?," kata Muhammad Fazmi Husin.
"Fergus? Ubaidullah ke mana? Kenapa tak ada nama dalam senarai?," tanya Haziq Azim.
Untuk rekod, Ubaidullah, yang pernah menyarung lilitan ketua pasukan ketika kempen Piala Mandiri B-23 Asean 2025 merupakan antara pemain pertahanan yang konsisten dalam skuad Harimau Muda.
Fergus pula tidak kurang hebatnya apabila menyumbang satu gol ketika menentang Brunei dalam saingan Piala Mandiri pada 18 Julai 2024 dan menjadi nadi serangan Harimau Muda.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Sabah FC atau Terengganu FC berhubung ketiadaan dua pemain itu, namun ada spekulasi mengatakan mereka mungkin tidak dilepaskan oleh pasukan masing-masing kerana komitmen dalam Liga Malaysia (Liga M). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram