
SKUAD Harimau Malaya Bawah 23 tahun (B-23) membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dengan langkah kiri selepas tewas 0-1 kepada Lebanon pada aksi Kumpulan F di Stadium Thammasat, Bangkok, Thailand pada Rabu.
Pasukan bimbingan Nafuzi Zain berkenaan terpaksa akur kalah tipis kepada Lebanon apabila jaringan pada minit ke-83 menerusi rembatan kencang Ali El Fadl menggagalkan Harimau Malaya B-23 untuk mendapatkan mata.
Kekalahan terbaharu itu menyukarkan misi skuad B-23 negara untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 apabila mereka kini perlu menundukkan Mongolia dan Thailand dalam baki perlawanan peringkat kumpulan.
BACA LAGI: Bintang Selangor, TFC ketuai cabaran Harimau Muda di Piala Asia B23
BACA LAGI: ‘Tiru macam Vietnam’, fans mahu KPG jadi jurulatih B23 di Piala Asia
Mengikut format kelayakan, hanya juara setiap kumpulan bersama empat pasukan naib juara terbaik serta tuan rumah, Arab Saudi akan menempah slot ke pusingan akhir kejohanan berprestij Asia itu.
Sekiranya Harimau Malaya B-23 tidak berhasil membawa pulang slot tersebut, ia merupakan kegagalan kedua Nafuzi selepas tersingkir di peringkat kumpulan dalam kejohanan Piala Mandiri Asean B-23 pada Julai lepas.
Sembilan bulan sejak dilantik sebagai pengendali Harimau Muda, Nafuzi seolah-olah hanya menyambung kegagalan E. Elavarasan dan bukannya bersama-sama mencetuskan revolusi seperti pasukan kebangsaan.
Sebelum ini, Elavarasan digugurkan daripada menjadi jurulatih Harimau Malaya B-23 selepas gagal membawa pasukan itu ke saingan Piala Asia B-23 meskipun dia hadir dengan reputasi pengendali berpengalaman di saingan Liga Malaysia (Liga M).
Melihat kepada kesukaran Nafuzi dan Elavarasan dalam menguruskan skuad muda kebangsaan, nama pengendali berpengaruh tempatan iaitu Datuk Ong Kim Swee kembali menjadi pilihan untuk menyelamatkan 'bahtera' pelapis bola sepak tanah air.
Sepanjang membimbing skuad B-23, Kim Swee pernah mencipta kejayaan bersejarah dengan membawa Malaysia mara ke suku akhir Piala Asia B-23 2018 di China, pencapaian terbaik negara dalam kejohanan tersebut setakat ini.
Bukan itu sahaja, Kim Swee juga berhasil memimpin skuad Harimau Muda meraih pingat emas bersejarah pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, yang masih menjadi detik kebanggaan bola sepak tanah air.
Bekas pengendali skuad B-23 negara, Elavarasan. — Facebook/FAM
Selain itu, Kim Swee turut menjadi arkitek kepada kelahiran ramai pemain tonggak skuad kebangsaan hari ini seperti Safawi Rasid, Matthew Davies, Irfan Zakaria dan Syamer Kutty Abba.
Kepakaran pengendali berusia 54 tahun berkenaan dalam membentuk pemain muda kepada bintang berpengalaman menjadikan Kim Swee sebagai figura dihormati dalam pembangunan bola sepak negara.
Malah, jurulatih kelahiran Melaka tersebut dikenali sebagai jurulatih yang tegas tetapi dekat dengan pemain muda, menjadikannya dihormati dalam kalangan generasi pelapis bola sepak Malaysia.
Dengan rekod cemerlang tersebut, AM wajar memberi ruang semula kepada Kim Swee untuk mengemudi Harimau Muda lagi-lagi skuad B-23 kini memerlukan seorang pengendali berpengalaman yang memahami selok-belok pembangunan bakat muda.
Kim Swee kini bertugas sebagai jurulatih Persik Kediri. — Agensi
Sekiranya badan induk itu berminat untuk menyuntik semula Kim Swee, FAM boleh 'terbang' ke Indonesia untuk berbincang dengan beliau dan pengurusan kelab semasanya iaitu Persik Kediri.
Untuk info, Persik merupakan kelab kedua di Liga 1 Indonesia yang diuruskan oleh Kim Swee apabila sebelum ini beliau mengendalikan Persis Solo untuk kempen 2024/2025.
Bekas pengendali Sabah FC berkenaan berjaya menyelamatkan Persis daripada tersingkir ke divisyen kedua dan kepakarannya terus diakui oleh penyokong bola sepak domestik mahupun Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram