[VIDEO] Huru-hara di padang, pemain terpaksa tiarap beramai-ramai elak serangan lebah


  • Podium
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Pemain-pemain City FC Abuja dan JKU FC meniarap di atas padang bagi mengelak daripada disengat lebah. — Agensi 

AKSI pramusim Tanzanite Pre-Season International Tournament bertukar kecoh apabila sekawan lebah menyerbu padang Stadium Kwaraa, di Babati, Tanzania, sekali gus memaksa perlawanan antara City FC Abuja dan JKU FC dihentikan seketika.

Insiden mencemaskan itu berlaku pada minit ke-77 ketika kedudukan masih terikat 1-1 dengan pegawai perlawanan pantas mengarahkan semua pemain meniarap di atas padang bagi mengelak disengat.

Manakala, jurukamera dan pembantu pengadil turut sama berbaring menutup badan mereka, selain pemain simpanan pula bertempiaran menyelamatkan diri dengan berlindung di bawah bangku simpanan.

BACA LAGI: Nafuzi-Elavarasan alami momen sukar, tiba masanya FAM 'pujuk' Kim Swee kembali?

BACA LAGI: Macam ada hubungan peribadi, taikun Brazil namakan Neymar pewaris harta RM5.3 bilion

Menariknya, para penyokong yang hadir di stadium berkenaan tetap duduk di kerusi masing-masing tanpa sebarang reaksi panik, seolah-olah tidak terjejas dengan situasi yang berlaku tersebut.

Ada yang berpendapat mereka tidak menyedari kekecohan yang berlaku di kawasan padang, manakala ada juga yang melihatnya sebagai keberanian luar biasa.

Menurut laporan media tempatan Afrizum, fenomena cuaca tidak menentu sepanjang minggu itu mungkin menjadi punca lebah menyerbu stadium, selain getaran daripada perlawanan yang berintensiti tinggi berkemungkinan mengganggu habitat serangga tersebut.

Selepas beberapa minit perlawanan direhatkan, lebah berkenaan akhirnya beredar tanpa mencederakan sesiapa dan membolehkan perlawanan bersambung semula.

City FC Abuja memanfaatkan keadaan dengan menjaringkan gol kemenangan sejurus selepas permainan diteruskan.

Afrizum turut mengesahkan tiada pemain, pegawai mahupun penyokong disengat sepanjang insiden berkenaan.

Kejadian berkenaan mengingatkan peminat bola sepak kepada insiden pada 2019 di Brazil apabila bekas bintang Barcelona, Dani Alves yang ketika itu beraksi bersama Sao Paulo disengat tebuan ketika mengambil sepakan penjuru menentang Fortaleza. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram