[VIDEO] Bolot 3 emas MSSM Perlis, pelari Terengganu boleh pergi jauh seperti 'gadis turbo' Sabah


  • Podium
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Izzatul Musfirah memecah rekod kejohanan bagi acara 200 meter perempuan bawah 18 tahun dalam Kejohanan MSSM kali ini.

BINTANG pecut Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira mencipta sensasi di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-65 apabila memecahkan rekod kejohanan bagi acara 200 meter di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis pada Jumaat. 

Pelari berusia 17 tahun itu menamatkan acara 200 meter perempuan bawah 18 tahun dengan catatan 24.24 saat, mengatasi rekod lama 24.79 saat milik Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak. 

Pencapaian terbaharu daripada atlet muda itu menyaksikan Izzatul Musfirah memenangi tiga pingat emas dalam kempen MSSM kali ini, selain dia juga difahamkan memecahkan tiga rekod kejohanan.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Kedah raja trek, lebur rekod 100 meter di MSSM Perlis

BACA LAGI: [VIDEO] Macam pasang 'turbo', kuartet Sabah pecah rekod acara 4x100m MSSM 2025

Sebelum ini, Izzatul Musfirah menjuarai acara 100 meter dengan masa 11.84 saat, sekali gus memadam rekod 12.02 saat ciptaan Azreen Nabila, juga dari Terengganu.

Kecemerlangan Izzatul Musfirah dilengkapkan bersama kuartet 4×100 meter Terengganu apabila mereka mencatatkan masa 47.45 saat untuk meraih emas, sekali gus memperbaharui rekod 47.65 saat yang direkodkan pada MSSM Johor 2024.  

Menjengah ke ruangan media sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap pencapaian Izzatul Musfirah dengan ramai menyifatkan dia sebagai permata baharu olahraga negara.

"Bakal pelapis Malaysia, ratu pecut negara. Ada turbo pelari ini," kata penyokong balapan tanah air, Mohd Azmin Kassim.

"Pastikan kerajaan negeri memberi segala bentuk bantuan tajaan biasiswa imbuhan bonus wang tunai dan apa-apa saja. Pastikan permata ini terus maju gemilang dipelihara," komen peminat sukan tanah air, Hamdan Anis.

"Cara dia (Izzatul Musfirah) melangkah itu ada sprint, dia boleh pergi jauh macam Rofina," kata penyokong sukan negara, Fauzi Mat yang melihat pelari Terengganu itu mirip dengan atlet pecut negara, Nur Aishah Rofina Aling. 

Atlet pecut sedang meningkat naik, Nur Aishah Rofina Aling. 

Untuk info, Nur Aishah Rofina yang mendapat julukan 'gadis turbo' baru-baru ini memenangi pingat emas acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand 2025 di Phatum Thani, Bangkok, Thailand. 

Kemenangan di Thailand bukan sahaja menyaksikan pelari lari Sabah itu menambah koleksi gelaran peribadi, malah menjadi penanda positif buat kem olahraga negara menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram