[VIDEO] Macam pasang 'turbo', kuartet Sabah pecah rekod acara 4x100m MSSM 2025


  • Podium
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Tangkap layar pasukan Sabah berjaya meleburkan rekod lama acara kuartet 4x100 meter bawah 18 tahun pada hari ketiga saingan di Perlis pada Khamis.

KEJOHANAN Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 terus mencatat sejarah apabila pasukan Sabah berjaya meleburkan rekod lama acara kuartet 4x100 meter bawah 18 tahun pada hari ketiga saingan di Perlis pada Khamis.

Biarpun beraksi dalam keadaan trek yang basah, semangat kental yang dipamerkan barisan pelari Sabah, Mohd Zaidy Kadir, Airiel Amani Kahar, Carlson Camilus dan Muhd Muzaffar Shah membuahkan hasil apabila menamatkan larian dengan catatan 40.89 saat, sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.

Pencapaian itu bukan sahaja membuktikan keupayaan atlet muda dari Borneo, malah menjadi penanda aras baharu dalam acara pecut peringkat sekolah. 

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Kedah raja trek, lebur rekod 100 meter di MSSM Perlis

BACA LAGI: 'Anak-anak rasa dihargai', pelukan ibu jadi kekuatan di gelanggang sukan

Kejayaan cemerlang itu juga mengekalkan kedudukan Sabah di tangga teratas carta keseluruhan dengan kutipan 14 pingat emas, 17 perak dan lapan gangsa setakat hari ketiga, mendahului pencabar terdekat seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Lebih menarik, kejayaan itu turut mencetuskan gelombang kebanggaan dalam kalangan penyokong di media sosial. 

Seorang pengguna, Jojacq StQz, menyifatkan larian pelari terakhir Sabah, Muhd Muzaffar Shah, umpama ‘memasang turbo diesel’ ketika memecut di garisan penamat.

“Pelari terakhir dia (Muzaffar) pasang turbo diesel naik Bukit Kimanis oo... perghhh mantappp,” katanya. 

Seorang lagi penyokong, Arie F Sius, pula tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila menonton detik bersejarah itu. 

“Tengok saja pun boleh menangis. I’m so proud to be Sabahan!!! Tahniah anak muda! Terima kasih and keep it up," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram