
KEJOHANAN Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh dramatik apabila pasukan Sabah mencipta sejarah baharu dalam acara 4x400 meter Lelaki Bawah 15 Tahun Akhir (L15) selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada aksi penutup di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis pada Sabtu.
Barisan pelari Sabah, Mohamad Shafiq Asri Abdullah, Muhamad Azrizam Haizal Jolison, Muhammad Nurmansyah dan Deaxter Pius mempamerkan semangat juang luar biasa apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan masa tiga minit 22.34 saat (3:22.34).
Catatan tersebut bukan sahaja menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Sabah, malah memadamkan rekod kebangsaan iaitu 3:25.42 yang turut dipegang oleh pasukan Sabah sebelum ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Macam pasang 'turbo', kuartet Sabah pecah rekod acara 4x100m MSSM 2025
BACA LAGI: Belasah kelab Liga A1 bukan alasan Sabah FC pandang rendah Kelantan TRW
Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan Sabah dinobatkan sebagai juara keseluruhan temasya edisi ke-65 dengan kutipan 19 pingat emas, 22 perak dan 17 gangsa menewaskan pencabar terdekat iaitu Selangor selaku naib juara.
Detik paling mencuri tumpuan ialah kelebihan masa yang begitu tipis ke atas Selangor, hanya 0.01 saat memisahkan kedua-dua pasukan di garisan penamat.
Selangor yang dilihat mendahului pada peringkat awal perlumbaan, akhirnya terpaksa akur dengan kedudukan naib juara apabila merekodkan masa 3:22.35, hanya sesaat di belakang Sabah.
Kejayaan penuh dramatik itu mencetuskan gelombang kebanggaan dalam kalangan warga Sabah dan peminat sukan tanah air yang membanjiri media sosial dengan ucapan tahniah dan sokongan kepada wira muda negeri berkenaan.
Dengan pencapaian itu, Sabah bukan sahaja mengukuhkan dominasi mereka dalam acara jarak sederhana peringkat sekolah, tetapi turut membuktikan bahawa bakat muda dari Borneo terus mampu mencipta impak di pentas kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram