
SELANGOR FC tidak pernah putus daripada lambakan bintang dalam pasukan yang menjadi tulang belakang di sebalik kemegahan pasukan tersebut dalam arena bola sepak tanah air.
Lihat sahajalah skuad mereka ketika ini yang dibarisi nama-nama besar seperti Faisal Halim dan Nooa Laine dalam kategori lokal sementara Alvin Fortes, Chrigor Moraes dan Noor al-Rawabdeh sebagai bintang antarabangsa.
Meskipun belum boleh diangkat sebagai pencabar utama di pentas domestik, kehadiran pemain berkaliber itu cukup untuk meletakkan skuad Gergasi sebagai antara kelab terbaik hari ini.
BACA LAGI: Momen luar biasa Kalamullah-Safawi Rasid cabar Jese rebut gelaran POTM Liga Super
BACA LAGI: Kalamullah sedar perlu segera beri impak untuk dipilih jadi GK no.1 HM
Skuad Gergasi Merah ketika ini dibarisi bintang yang berada dalam kelas tersendiri. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, ramai yang seakan-akan lupa mengenai tunjang utama pasukan yang kerap dilupakan penyokong walaupun tidak pernah gagal menampilkan aksi terbaik sejak pertama kali menyarung jersi Selangor FC.
Bintang yang dimaksudkan ialah Kalamullah al-Hafiz Mat Rowi yang menyertai skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan kedua 2024/25 selepas kelab lamanya, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengalami masalah pengurusan.
Keputusan menandatangani penjaga gol berusia 30 tahun itu pada awalnya dipersoalkan kerana kelab tersebut sudah memiliki Sam Somerville, Azim Al-Amin serta Khairulazhan Khalid.
Malah, ketika mengalu-alukan kehadiran pemain kelahiran Kelantan tersebut, Selangor FC turut mempunyai Sikh Izhan Nazrel yang dipinjamkan ke Penang FC dengan bakatnya cukup diminati penyokong.
Bagaimanapun, reputasi Kalamullah menyaksikan pengendali, Katsuhito Kinoshi diturunkan buat pertama kali ketika berdepan PDRM FC pada Oktober tahun lalu.
Kalamullah menyertai Selangor FC selepas meninggalkan skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Walaupun dibolosi pada minit-minit akhir permainan, prestasi ditampilkan sudah cukup meyakinkan apabila dia kemudiannya terus diletakkan dalam kesebelasan utama meskipun baru sahaja menyertai pasukan terbabit.
Hasil daripada kepercayaan diberikan menyaksikan benteng pertahanan skuad Gergasi Merah terus utuh selepas mereka mencatatkan enam 'clean sheet' dalam 10 penampilan Liga Super.
Prestasi memberangsangkan itu diteruskan ke musim ini selepas Kinoshi menurunkannya dalam kesemua empat perlawanan setakat ini, termasuk dalam aksi getir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Buriram United.
Dalam aksi pertama musim ini, skuad Gergasi Merah dibolosi sebanyak tiga kali, namun angka itu boleh meningkat sekiranya Selangor FC tidak memberi kepercayaan buat Kalamullah.
Tepisan dalam menggagalkan sepakan percuma Arif Aiman Hanapi dan percubaan jarak dekat Bergson da Silva menceritakan kecekapan penjaga gawang berkenaan yang tidak boleh lagi diteruskan.
Meskipun kurang diuji ketika berdepan DPMM FC dan Malaysian University FT, Kalamullah tidak mengecewakan ketika setiap kali pihak lawan cuba melancarkan serangan.
Situasi sama disaksikan semasa aksi pembukaan Piala Shopee berdepan Buriram United pada Rabu apabila gawang Selangor FC hanya dibolosi pada masa kecederaan menerusi sepakan sudut kelab Thailand berkenaan.
Persembahan memukau ditonjolkan Kalamullah dalam perlawanan itu, termasuk ketika dia membuat 'double save' untuk mengecewakan Guilherme Bissoli dan Suphanat Muaenta.
Pujian dan kredit besar harus diberikan kepada Kalamullah yang wajar diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan melihat kepada sumbangannya sepanjang 90 minit permainan.
Malah, selepas ini, penyokong Merah Kuning juga perlu menyedari akan kepentingan pemain tersebut yang membawa perubahan menyeluruh terhadap benteng pertahanan Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram