Munoz sedari kepantasan Sailors, Rankovic elak aib musim lalu


  • Podium
  • Khamis, 21 Ogos 2025

JDT berharap dapat memulakan langkah dengan baik menentang Lion City Sailors. — Facebook/JDT-LionCitySailors

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berharap dapat memulakan langkah dengan baik menentang Lion City Sailors dari Singapura dalam penampilan sulung mereka pada Kumpulan B kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Khamis. 

Ketua jurulatih Harimau Selatan, Xisco Munoz tetap berhati-hati dengan lawan mereka dari seberang Tambak kerana menyedari Sailors mampu menjadi lawan yang sukar serta pantas di atas padang.

BACA LAGI: Baru sempat turun 2 kali, Hidalgo kembali ke pangkuan JDT

BACA LAGI: [VIDEO] JDT perlukan khidmat Safawi, striker kelab Borneo tundukkan kelab Singapura 7 tahun lalu

Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz. — Facebook/JDT

"Kami telah mengkaji lawan kami dan melihat bagaimana mereka bermain. Mereka mempunyai hubungan permainan yang baik dan peralihan yang mantap. 

"Adalah penting untuk kami mengekalkan tumpuan apabila menguasai bola kerana lawan boleh berbahaya jika kami kehilangannya.

"Mereka memiliki pemain yang berkualiti di bahagian serangan akhir dan juga kepantasan.

"Tetapi dalam fikiran kami, kami mahu memberikan persembahan terbaik dan meraih tiga mata dalam saingan baharu ini," kata Munoz pada sidang media pra-perlawanan. 

Pertahanan JDT, Jon Irazabal yang menjaringkan dua gol ketika kemenangan 5-3 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi pembukaan Liga Super minggu lalu, turut bersemangat menghadapi pertembungan menentang Lion City Sailors.

Bek tengah Harimau Selatan, Jon Irazabal. — Facebook/JDT

"Ia pasti perlawanan yang sukar menentang salah satu pasukan besar di Asia Tenggara, jadi saya sangat teruja. 

"Semua pemain sudah bersedia untuk menentang lawan yang kuat. Kami perlu selangkah di hadapan untuk terus memperbaiki diri.

"Kami mempunyai ramai pemain baharu, dan kami perlu lebih memahami antara satu sama lain serta apa yang dimahukan jurulatih.

"Kami mesti cuba menembusi dengan lebih baik dan bekerjasama. Ini ujian yang baik untuk kami memperbaiki diri," kata pemain warisan Harimau Malaya itu. 

Sementara itu, ketua jurulatih Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic tetap bersemangat menghadapi perlawanan menentang JDT, meskipun pasukan itu tewas dalam kedua-dua pertemuan dengan Harimau Selatan tahun lalu.

Pengendali Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic (kiri) dan pemain pertahanan, Toni Datkovic. — Facebook/ACC

Naib juara Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) berkenaan mahu memulakan kempen kali ini dengan lebih baik selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada musim lalu.

"Kami tidak mahu apa yang berlaku musim lalu berulang. Ia kedudukan yang sukar apabila kami memulakan dua perlawanan pertama di tempat lawan.

"Tetapi tiada sebab untuk kami tidak bermain dengan kekuatan penuh dan memburu kemenangan," kata Rankovic yang berasal dari Serbia. — The Star/S.SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram