
PENDUDUK sekitar Larkin, Johor menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati di kawasan Pasar Awam Larkin dan Terminal Larkin sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Menerusi hantaran dikongsi laman komuniti tempatan, Community Roda Johor – CRJ, pihak Trafik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dilaporkan telah mengambil tindakan dengan menyaman kenderaan yang diletakkan secara tidak bertanggungjawab di sekitar lokasi berkenaan.
“Diharapkan tindakan pemantauan dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi kenderaan diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.
“Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pun boleh jalankan bahagian anda,” tulis pentadbir laman tersebut pada Ahad.
Namun begitu, tindakan saman semata-mata dilihat masih belum memberi kesan apabila segelintir pengguna media sosial menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap situasi itu.
Seorang pengguna Facebook, Hafizul Haqim mencadangkan supaya tindakan lebih tegas diambil.
“Saman tak jalan… kena towing (tunda), baru ada akal,” tulisnya ringkas.
Pandangan sama turut dikongsi Muhammad Faizal Mazalan yang mencadangkan agar pihak berkuasa menempatkan anggota trafik secara tetap di kawasan terbabit.
“Saman tak jalan, get ready towing saja atau sorang trafik statik dekat situ. Barulah orang tak berani parkir sembarangan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi warga maya, Farah Zailani turut meminta tindakan yang sama diambil di kawasan Pasar Taman Suria yang turut berdepan isu sama.
“Towing terus tak boleh ke? Sama dengan kawasan pasar Taman Suria itu.
"Sudahlah jalan sempit, lagi nak parking tepi jalan sampai menyusahkan orang nak masuk lorong,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram