Hukuman pempengaruh Ija dan adik terlalu ringan jika dibandingkan kesan ditanggung pasukan SAR — Pakar Kriminalogi


  • Massa
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Tindakan Ija (gambar kecil) bukan sahaja membuang masa dan tenaga agensi penyelamat, malah menjejaskan kepercayaan awam terhadap kes-kes kehilangan sebenar yang memerlukan tindakan segera. — JBPM

KES laporan palsu bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat, malah acap kali dilaporkan ada segelintir individu sanggup membuat dakwaan tidak benar demi menyembunyikan sesuatu tanpa memikirkan implikasi terhadap pihak berkuasa dan orang ramai.

Terbaharu, negara digemparkan dengan kejadian melibatkan seorang pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin yang dilaporkan hilang di kawasan Sungai Tui, Bukit Kepong, Muar, Johor, awal minggu lalu selepas kenderaannya ditemui terjunam ke dalam sungai berkenaan.

Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan secara besar-besaran, melibatkan lebih 70 anggota keselamatan termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

BACA LAGI: Pempengaruh Ija, adik mengaku bersalah buat laporan palsu, dipenjara sebulan

BACA LAGI: Suami ada sejarah serangan jantung ketika memandu, kereta ditemukan dalam sungai di Muar

Bagaimanapun, orang ramai dikejutkan dengan perkembangan terbaharu apabila kehilangan itu rupa-rupanya hanyalah rekaan semata-mata, mencetuskan kemarahan dan kekecewaan masyarakat.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja membuang masa dan tenaga agensi penyelamat, malah menjejaskan kepercayaan awam terhadap kes-kes kehilangan sebenar yang memerlukan tindakan segera.

Lebih mengejutkan, Tengku Nizaruddin atau lebih dikenali sebagai Ija, serta adiknya Tengku Abdul Aziz, masing-masing dihukum penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat lselepas mengaku bersalah membuat laporan palsu.

Pakar kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff

Hanya hukuman ringan

Mengulas perkara itu, pakar kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff berkata, tindakan membuat laporan palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, iaitu memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

“Jika didapati wujud unsur bersubahat, Seksyen 109 kanun sama juga boleh digunakan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Namun, hukuman ini dilihat terlalu ringan jika dibandingkan dengan kesan besar yang ditanggung oleh pasukan penyelamat serta masyarakat,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, operasi pencarian selama empat hari yang melibatkan penggerakan anggota keselamatan dalam jumlah besar bukanlah sesuatu yang murah dari segi kos.

“Malah, nilai itu tidak termasuk beban psikologi dan emosi yang ditanggung ahli keluarga yang benar-benar percaya individu itu hilang,” ujarnya.

Jejas kepercayaan masyarakat

 

 

Tambah Nadiah yang juga pensyarah di Management & Science University (MSU), perbuatan membuat laporan palsu ini memberi kesan jangka panjang terhadap kepercayaan masyarakat terhadap kes kehilangan sebenar, khususnya apabila ia dilakukan oleh individu berpengaruh atau dikenali ramai.

“Apabila berlaku kes seperti ini, ia akan menimbulkan persepsi bahawa laporan kecemasan hanyalah satu gimik untuk menarik perhatian atau simpati.

“Ia boleh mencetuskan prejudis dan menyebabkan pasukan penyelamat menjadi lebih berhati-hati atau lewat bertindak apabila berdepan kes yang benar-benar serius,” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya perkara sebegini tidak dibendung dengan hukuman yang setimpal, ia akan menjadi ikutan dan memberi gambaran bahawa kesalahan seperti ini boleh dilakukan tanpa akibat besar.

Perlu semakan hukuman

Seramai 70 anggota keselamatan termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam usaha mencari Ija. — PDRM

Justeru, Nadiah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semakan semula terhadap peruntukan hukuman sedia ada supaya lebih relevan dengan situasi semasa dan berupaya mencegah kejadian sama berulang.

“Kita tidak boleh anggap kes seperti ini sebagai remeh atau terpencil. Ia memberi kesan kepada kecekapan pasukan keselamatan, keyakinan awam dan penggunaan aset negara.

“Sudah tiba masanya kita menghantar mesej tegas kepada masyarakat bahawa laporan palsu adalah jenayah serius yang membawa kesan besar.

“Kita hidup dalam masyarakat yang saling bergantung antara satu sama lain. Laporan palsu bukan sahaja mencemarkan kepercayaan umum, malah melambatkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Sekiranya masyarakat terus memandang ringan terhadap kesalahan seperti ini, tidak mustahil suatu hari nanti nyawa yang perlu diselamatkan akan terkorban, kerana kita sudah tidak percaya kepada jeritan kecemasan,” tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram