
TERENGGANU FC (TFC) meneruskan usaha memperkukuh barisan pemain dengan mendapatkan khidmat pemain tengah muda, Saiful Jamaludin dari Sri Pahang FC bagi membantu memperkukuhkan skuad Sang Penyu pada kempen 2024/2025.
Perpindahan itu menjadikan Saiful sebagai rekrut kedua dari Sri Pahang selepas Terengganu turut mengumumkan penyertaan Baqiuddin Shamsudin pada Isnin, sekali gus memperlihatkan komitmen pasukan dalam membina skuad yang lebih mantap.
Kehadiran dua pemain Tok Gajah itu ke bumi Terengganu susulan Sri Pahang akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas sah tidak akan bertanding dalam kancah bola sepak profesional musim depan.
BACA LAGI: Andai sah dibubar, 3 bintang Tok Gajah wajib disambar musim depan
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ibarat wiper', Fandi Ahmad puas hati saksikan sumbangan permata baharu Tok Gajah
Perkembangan itu diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas skuad Tok Gajah yang menerima lesen kebangsaan 2025-26 memutuskan untuk tidak bertanding dengan mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun.
Keputusan Sri Pahang mengundur diri daripada saingan bola sepak domestik pada kempen kali ini menyaksikan sebanyak 13 pasukan beraksi dalam musim baharu Liga Super yang bermula pada 8 Ogos nanti.
Perpindahan dua pemain berkenaan ke Terengganu bukanlah sesuatu yang asing dalam kancah bola sepak tempatan, malah ia seakan meneruskan tradisi pertukaran antara dua kelab berjiran itu.
Hal ini kerana, sejarah perpindahan antara kedua-dua kelab ini sudah pun membabitkan beberapa nama besar sebelum ini.
1) Kpah Sherman
Sherman menyarung jersi Pahang selama dua musim. — Facebook/MFL
Pada musim 2022, penyerang kelahiran Liberia iaitu Kpah Sherman menyarung jersi skuad Sang Penyu selepas dia memutuskan untuk meninggalkan legasi bersejarah di bumi Kedah usai tiga tahun berkhidmat.
Kehadirannya di Terengganu segera menunjukkan impak besar sebagai import utama apabila tampil dalam 22 perlawanan (14 Liga Super, tiga Piala FA, lima Piala Malaysia) dan menjaringkan 13 gol keseluruhan, termasuk enam gol dalam Liga Super sahaja
Salah satu momen paling diingati ialah hatriknya dalam aksi Piala Malaysia menentang Sri Pahang, yang bermula dengan jaringan seawal minit pertama dan menyumbang tiga gol dalam kemenangan 5–1.
Meskipun cemerlang bersama Terengganu, jodoh Sherman bersama Sang Penyu tidak bertahan lama apabila dia berpindah ke Sri Pahang pada awal musim 2023 dan sekali lagi menjadi pemain penting.
Pada musim 2023, pemain berusia 33 tahun itu menyumbang 12 gol dalam 24 perlawanan Liga Super, sekali lagi muncul penjaring utama kelab dalam liga. Kempen 2024/2025 pula menyaksikan Sherman mengutip lapan gol dalam liga dan 11 gol keseluruhan (termasuk Piala Malaysia dan Piala FA)
Lebih menarik, Sherman sering diberikan peranan sebagai kapten di atas padang, sekaligus menunjukkan pengaruhnya bukan sahaja dari segi jaringan tetapi juga dari segi mental dan kepimpinan.
2) Faisal Halim
Faisal antara pemain menonjol TFC pada kempen 2021 dan 2022. — Facebook/TFC
Pemain lincah kebangsaan, Faisal Halim juga merupakan ikon untuk dua kelab Pantai Timur itu apabila dia memberi persembahan konsisten bersama dua kelab utama Sri Pahang FC dan Terengganu FC antara musim 2016 hingga 2022.
Faisal memulakan penyertaannya bersama Sri Pahang FC pada musim 2016 selepas mencuri tumpuan ketika bersama Pulau Pinang. Sepanjang lima musim bersama Tok Gajah, Faisal membuat lebih 70 penampilan dan menyumbang sejumlah gol serta bantuan jaringan penting.
Pencapaian tertingginya ketika bersama Pahang hadir pada musim 2018 apabila dia membantu kelab tersebut menjuarai Piala FA, sekaligus membuktikan kapasiti dan ketajamannya sebagai pemain sayap yang berbahaya.
Lima musim di Pahang berakhir pada penghujung 2020, Faisal membuat keputusan untuk berhijrah ke Terengganu FC dengan Anak jati Kampung Mengkuang Titi, Kubang Semang, Pulau Pinang itu menandatangani kontrak dua tahun bermula musim 2021.
Dua musim di bumi Terengganu menyaksikan pemain kebangsaan itu berkembang dengan baik apabila dia diberi kepercayaan untuk mencatat 55 perlawanan dengan Faisal turut merekodkan 15 gol dan 21 bantuan jaringan.
3) Issey Nakajima-Farran
Nakajima-Farran antara import menyerlah untuk dua kelab itu. — Facebook/TFC
Penyerang sayap lincah dari Kanada, Issey Nakajima-Farran antara watak penting yang mewarnai pentas Liga Malaysia apabila dia menyarung jersi Terengganu dari musim 2015 hingga 2017 sebelum berhijrah ke Sri Pahang FC pada musim 2018 hingga awal 2019.
Nakajima-Farran yang memiliki pengalaman antarabangsa bersama skuad kebangsaan Kanada serta kelab-kelab di Denmark, Australia dan Jepun itu menyertai skuad Sang Penyu pada awal musim 2015.
Sepanjang tiga musim bersama Terengganu, Nakajima-Farran mempamerkan ketangkasan dan kreativiti sebagai pemain sayap, dengan sumbangan jaringan dan bantuan gol yang signifikan dalam kempen Liga Super dan kejohanan tempatan.
Walaupun Terengganu mengalami turun naik prestasi ketika itu, Nakajima-Farran tetap menjadi salah satu pemain import yang dihormati oleh penyokong kerana komitmen dan kerja kerasnya di atas padang.
Pada musim 2018, Nakajima-Farran menyertai Sri Pahang FC bagi memperkuatkan skuad kendalian jurulatih Datuk Dollah Salleh. Dia mengharungi satu musim penuh dan turut beraksi dalam beberapa perlawanan awal musim 2019 sebelum kontraknya ditamatkan pada bulan Mac tahun tersebut.
Di Pahang, Issey terus memperlihatkan sentuhannya sebagai pemain sayap berpengalaman, namun saingan daripada pemain import baharu menyaksikan penglibatannya mula berkurangan menjelang penamat kontrak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram