
KEBERGANTUNGAN besar diletakkan Terengganu FC di bahu Safawi Rasid musim lalu kerana pengalamannya beraksi sepanjang karier amat diharapkan mampu membawa pasukan itu ke tahap lebih tinggi.
Dia yang tiba secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) kelihatan berjaya membalas kepercayaan tersebut apabila menjadi watak utama pasukan dengan 18 gol dan empat bantuan jaringan dicetak daripada 36 penampilan.
Pulangan tersebut sememangnya dihargai penyokong Sang Penyu apabila masing-masing mengharapkan anak jati Dungun, Terengganu itu dapat dikekalkan untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.
BACA LAGI: Ledak 5 gol, Safawi Rasid satu-satunya bintang lokal tersenarai ‘All-Star XI’ Piala Shopee
BACA LAGI: Terengganu mahu terus ikat Safawi namun berdepan halangan JDT
Safawi dilaporkan tidak akan beraksi buat skuad Sang Penyu bagi kempen akan datang.
Bagaimanapun, hasrat berkenaan seperti sukar untuk direalisasikan kerana majikannya ketika ini dilaporkan lebih berminat untuk meminjamkan Safawi ke Negeri Sembilan FC atau Kuala Lumpur (KL) City FC.
Kegagalan membawa masuk pemain berusia 28 tahun tersebut bagi musim kedua sudah tentu memaksa Terengganu FC membawa masuk alternatif lain pada jendela perpindahan kali ini.
Usaha tersebut seperti sudah dimulakan apabila kelab Pantai Timur itu dikaitkan dengan penyerang sayap dari Brazil, Gabriel Silva seperti mana dilaporkan media Kemboja.
Khabar angin berkenaan dikongsikan laman penyokong, Terengganu 11 yang menyatakan pemain Svay Rieng FC itu akan menjadi rekrut baharu Terengganu FC bagi musim 2025/26.
Bagaimanapun, ura-ura itu gagal mencuri hati peminat Sang Penyu yang berasakan pihak pengurusan enggan membuat pelaburan demi memperkuatkan pasukan selepas kempen lalu yang mengecewakan.
Gabriel (kanan) beraksi ketika berdepan Terengganu FC dalam saingan Piala Shopee. — Facebook/PKR Svay Rieng
"Tahap pemikiran pengurusan Terengganu FC setakat itu sahaja, cari import bermain di liga bawahan. Tiada usaha dan pemikiran ke arah mahu memajukan kelab, main tangkap muat sahaja," kata Engku Hisham Engku Mohamad.
"Ikut suka anda lah mahu ambil siapa sekali pun. Memang kita tidak boleh pergi jauh sekiranya hanya mahu jimat bajet setiap tahun. Nak menjadikan pasukan lebih baik, perlulah adanya bajet lebih besar," kata Shahrul AZly.
"Setakat ini sahajalah akhirnya gaya dicarinya, carilah yang paling tidak Gred B. Kalau ini, boleh dikatakan setakat (Ismaheel) Akinade sahaja," kata Abazi ML.
Meskipun kurang dikenali ramai, Gabriel Silva sebenarnya mempunyai rekod jaringan cukup baik bersama Svay Rieng musim lalu, termasuk pernah mencetak gol ketika berdepan Terengganu FC dalam saingan Piala Shopee.
Di pentas domestik pula, pemain berkenaan juga menjadi watak penting dalam membantu pasukannya menjuarai Liga Perdana Kemboja dengan sembilan gol dan lima bantuan jaringan dicatatkan.
Berdasarkan statistik berkenaan, dia amat diharapkan mampu mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Safawi dengan kebolehan di hadapan gawang lawan akan diperhatikan peminat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram