
KEPUTUSAN pihak pengurusan sebuah institut pendidikan tinggi awam (IPTA) sekitar Selangor untuk membenarkan penganjuran pertandingan terbuka permainan video atas talian menimbulkan perdebatan di media sosial.
Isu tersebut dibangkitkan seorang pengguna TikTok, Nabilah Hassan yang menyuarakan rasa kurang senang dengan kejohanan berkenaan dengan mengatakan ia akan mengganggu ketenteraman di rumah ibadah berkenaan.
"Terkejut sangat apabila masuk masjid, tiba tiba ada satu ruang, penuh penuntut main game tanpa menghiraukan orang keliling. Pada masa sama, ada dua jenazah bersedia untuk disolatkan di masjid.
BACA LAGI: Perjalanan cinta lepas ijab kabul, pakar 'parenting' kongsi 7 rahsia jaga keharmonian rumah tangga
BACA LAGI: Mihrab 3D jadikan ruang solat lebih eksklusif, mendamaikan, nilai estetika istimewa dalam kediaman
"Admin pun bertemu polis bantuan, mereka pun tidak ok. Jadi, admin mahu jumpa pihak penganjur, tetapi akhir sekali, polis sudah selesaikan. Sungguh memalukan! Inikah hasil graduan menara gading sebuah universiti hebat dibanggakan di Malaysia?" tulisnya di ruangan kapsyen.
Video berdurasi 17 saat berkenaan memaparkan sepanduk kecil digantung sekitar pintu masjid memaparkan maklumat berkaitan pertandingan yang diadakan pada Sabtu dan Ahad dengan permainan itu dimainkan secara atas talian.
Selain itu, berdasarkan maklumat diperolehi, kejohanan terbuka itu menyediakan hadiah terkumpul mencecah RM1,900 serta token di dalam permainan tersebut yang pastinya menjadi daya tarikan penuntut di IPTA berkenaan.
Bagaimanapun, di sebalik rasa kurang senang dikongsikan, ada juga yang menyokong pihak penganjur dengan mengatakan pertandingan itu sudah mendapat kebenaran pihak masjid yang pasti menyediakan ruangan bersesuaian.
Pengguna media sosial lain turut beranggapan pendekatan itu wajar dicontohi kerana peserta akan tertarik untuk menyertai solat jemaah selain menjadikan rumah ibadah itu sebagai platform pelbagai guna.
Kanak-kanak sering meluangkan masa dan bermain di masjid.
"Kalau tengok pada awalnya, memang tidak elok tetapi cuba dilihat dari sudut mengadakan program sebegini di masjid. Sedang bermain dan tiba-tiba azan, boleh terus ke masjid. Dalam masa sama, boleh menarik penuntut untuk ke masjid," kata Kurma.
"Semasa zaman Nabi Muhammad dahulu, masjid jadi tempat mesyuarat, lokasi perayaan dan macam-macam lagi. Tidak mungkin jika perkara kecil sebegini tidak boleh. Kita sudah di abad ke-21, jadi perlu bergerak seiringan," kata Adam Daniel.
"Pada saya, okay sahaja kerana masjid ini bukan sahaja tempat beribadah, tempat riadah pun ikutkan tiada masalah. Mungkin lebih baik sekiranya yang bermain menggunakan peralatan sesuai untuk tidak mengganggu jemaah lain," kata Jack.
Sekiranya melihat dari skop lebih luas, masjid sering digunakan sebagai pusat masyarakat di luar negara apabila jemaah, termasuk pihak pengurusan sering meluangkan masa bersama kanak-kanak.
Ia secara tidak langsung dapat menyemai perasaan untuk hadir ke rumah ibadah dan menjadi ruangan terbaik untuk berbincangan mengenai permasalahan setempat serta berhubung ibadah.
Bagaimanapun, adab di masjid masih perlu dijaga kerana rata-rata yang hadir mempunyai niat untuk melakukan ibadah dengan gangguan sebegitu akan mengganggu khusyuk dan menjejaskan tujuan sebenar kewujudannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram