Ronnie sah ke kelab Chile, Gergasi Merah dalam dilema pilih ex striker Kedah atau peledak Finland


  • Podium
  • Khamis, 22 Mei 2025

Ronnie sah dilepaskan Selangor dan ia memberi petanda mereka akan membawa masuk seorang penyerang import baharu. — Facebook/SelangorFC

BUKAN lagi khabar angin, Selangor FC mengesahkan perpisahan mereka dengan penyerang import iaitu Ronnie Fernandez selepas pemain berkenaan sudah memberi kudratnya untuk menerajui jentera serangan Gergasi Merah selama semusim.

Menerusi satu hantaran pada laman Facebook, kelab Lembah Klang berkenaan memberikan ucapan terima kasih mereka kepada Ronnie selepas penyerang dari Chile itu berhasil meledak 16 gol untuk Gergasi Merah pada musim ini.

BACA LAGI: 'Willian Lira lebih bagus berbanding Ronnie Fernandez, cuma dia masih import biasa-biasa'

BACA LAGI: Ronnie Fernandez ditunjuk jalan keluar dari Selangor, penyerang ‘flop’ Kedah dikhabar jadi pengganti

"Kelab hari ini mengumumkan perpisahan penyerang Chile kami, Ronnie Fernandez yang memainkan peranan penting dalam musim 2024/25 kami. Ronnie telah mencipta impak dengan 16 gol dan tujuh bantuan jaringan, serta dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan dalam Perlawanan Akhir Piala Cabaran MFL.

"Terima kasih Ronnie atas sumbangan dan komitmen anda sepanjang musim ini. Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam lembaran baharu anda," kata Selangor menerusi pengumuman ringkas di Facebook rasmi pada Khamis.

Usai pengumuman itu, pemain berusia 34 tahun itu dikenal pasti menyertai kelab gergasi Chile iaitu Club Deportivo Palestino dengan kelab yang sedang memburu kejuaraan Liga Chile itu optimis Ronnie akan menambah kekuatan bahagian serangan mereka.

Setakat ini, Liga Chile sudah berlangsung sebanyak 11 perlawanan dengan Club Deportivo Palestino mengutip 22 mata. Jumlah itu sama dengan pendahulu Audax Italiano serta Coquimbo yang berada di tempat ketiga.

 

 

Pemergian Ronnie itu mengundang persoalan mengenai penggantinya dengan sebelum ini Selangor sudah dikaitkan dengan dua penyerang iaitu bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira dan penyerang kelahiran Finland, Jasse Tuominen.

Lira yang kini beraksi untuk Hatta Club di Emeriah Arab Bersatu menghasilkan lapan gol dalam 15 penampilan semasa di Kedah (2023). Ia tidak memuaskan pengikut Sang Kenari sehingga jolokan 'penyerang flop' menghantuinya.

Bagaimanapun, ceritanya ketika menyarung jersi Chonburi FC (2023-2024) memberi maklum balas positif apabila Lira berhasil meledak 15 jaringan dalam 35 penampilan dalam kesemua pertandingan di Liga Thailand termasuk Piala FA Thai dan Piala Liga Thai.

Lira beraksi untuk Hatta Club di Emeriah Arab Bersatu. — Agensi

Seorang lagi calon penyerang dikaitkan dengan Selangor iaitu Tuominen pula kini beraksi untuk pasukan divisyen teratas Liga Finland iaitu Inter Turku dengan dia sudah tampil dalam lapan perlawanan dan meledak dua gol setakat ini.

Tominen mempunyai sejarah kecederaan yang agak serius apabila ketika dia menyarung jersi Bruk-Bet Termalica, dia mengalami kecederaan meniskus pada Mac 2024, menyebabkan Tuominen perlu menjalani pembedahan dan berehat selama beberapa bulan.

Selepas tiba pada Mac 2025, Tuominen diberikan peluang untuk beraksi dalam tujuh perlawanan untuk Inter Turku. — Agensi

Kemudian, Tuominen mengalami satu lagi kecederaan lutut selepas kelab memberi tekanan kepadanya untuk kembali beraksi sebelum dia benar-benar cergas sepenuhnya. Pada 30 Disember, ketika pemain itu hampir pulih sepenuhnya, kontraknya telah ditamatkan.

Kenangan manis Tuominen dalam bola sepak pula apabila mendapat pengalaman berharga beraksi dalam kejohanan kelab Eropah seperti kelayakan Liga Juara-juara UEFA (UCL) dan Liga Europa bersama kelab gergasi Belarus, BATE Borisov pada 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram