Tidak ingin raih populariti, Puaka Jerai ada sebab lain di sebalik kostum bunga matahari


  • Podium
  • Khamis, 05 Okt 2023

Puaka Jerai atau dikenali sebagai Zulkifli Hashim. — MFL

SEPERTI yang diketahui, bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia dan ia juga mempunyai penyokong tersendiri sehinggakan ada yang sanggup menghabiskan ratusan ringgit untuk menyokong kelab kesayangan mereka.

Penyokong memainkan peranan penting untuk sesebuah kelab bola sepak kerana merekalah yang akan membawa watak pemain ke-12 untuk menggerunkan pihak lawan melalui sorakan sokongan di stadium.

Sebut sahaja Puaka Jerai pasti penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC mengenalinya kerana keunikan kostum yang dipakainya ketika turun padang menonton perlawanan skuad Hijau Kuning terutamanya di Stadium Darul Aman.

Puaka Jerai

Zulkifli mengenakan kostum unik ini sejak 10 tahun lepas hingga ia menjadi sebahagian daripada identitinya. — Facebook/ Puaka Jerai

Puaka Jerai ataupun nama sebenarnya Zulkifli Hashim akan memakai kostum hijau dan kuning berserta imej bunga matahari yang pasti akan mencuri perhatian penyokong yang hadir ke perlawanan KDA FC.

Berkongsi pengalaman sepanjang memegang gelaran Puaka Jerai, Zulkifli turut menceritakan permulaannya dalam memakai kostum hijau kuning berserta hiasan kepala bunga matahari.

Menurut Zulkifli, tema bunga matahari membawa maksud sinaran baharu kepada kebangkitan KDA FC dalam kancah bola sepak Malaysia.

"Kostum Puaka Jerai mulai start buat daripada tahun 2014 sehingga kini dan masuk tahun ke-10.

"Tema yang saya pilih untuk kostum Puaka Jerai ini ialah bunga matahari kerana ia adalah simbolik sinaran baru kebangkitan Kedah bangkit dalam kancah bola sepak tempatan.

"Tidak kira mana-mana stadium atau home atau away saya akan pakai kostum ini," katanya sambil memberitahu, dia hanya akan mengecat muka dengan warna hijau kuning apabila menghadiri game penting seperti final, separuh akhir dan suku akhir.

Zulkifli turut berkongsikan bahawa rekaan untuk baju bunga matahari tersebut adalah berbeza-beza setiap tahun.

"Setiap tahun saya design baju saya ni akan berubah dengan menggunakan design saya sendiri dan kos akan meningkat tapi tengok kepada kualiti kain," kongsinya di rakaman MFL.

Katanya, untuk tahun 2023, kostum bunga matahari yang dihasilkan olehnya menelan kos yang tinggi.

"Untuk musim 2023, kostum bunga matahari ini merupakan paling mahal iaitu mencecah sehingga RM1,000 jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya iaitu dalam anggaran ratusan ringgit.

2029735

Bukan sahaja kostum malah Zulkifli turut membuat replika trofi daripada barang terpakai — Facebook/ Puaka Jerai

Tambahnya lagi, tujuan kostum itu dihasilkan bukan untuk dikenali atau menginginkan populariti namun mahu menarik minat lapisan masyarakat untuk datang ke stadium.

"Penyokong bola ada pelbagai cara untuk menyatakan sokongan kepada kelab masing-masing. Orang lain ada cara mereka, ini saya ada cara tersendiri.

"Kostum ini dibuat semata-mata untuk mewarnai kancah bola sepak tempatan sebagai penyokong dan ini merupakan salah satu menarik minat masyarakat di luar sana untuk menarik minat agar dekat dengan bola sepak kita," jelasnya.

Bukan sahaja di stadium malah Zulkifli juga sempat berkongsikan bahawa rekaan baju bunga matahari itu turut mencuri tumpuan orang ramai.

"Bukan sahaja di stadium malah saya juga pernah menerima jemputan dari pihak sekolah, jabatan kerajaan dan swasta.

"Tujuan saya hanya untuk mempromosikan bola sepak Kedah kepada masyarakat," ujarnya.

Tambahnya lagi, untuk musim depan, Puaka Jerai sudah ada reka bentuk kostum tersendiri yang ingin diketengahkan.

"Tapi yang penting, elemen bunga matahari akan terus dikekalkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram