[VIDEO] 'Patut bagi amaran dulu', ramai kasihan niat pakcik di Seberang Perai bagi makan burung dikompaun RM250


  • Massa
  • Khamis, 22 Mei 2025

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki dikenakan kompaun selepas dipercayai melakukan kesalahan memberi makan kepada burung merpati di tempat awam.

TINDAKAN seorang lelaki memberi makan terhadap sekawanan burung merpati di kawasan awam di Seberang Perai, Pulau Pinang membawa padah selepas dia dipercayai dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Difahamkan, kompaun di bawah Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam satu operasi baru-baru ini.

Tindakan diambil oleh anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit turut dirakam dan dimuat naik di TikTok rasmi MBSP.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak muda Kuantan bukan setakat 'restore' topi, malah gamit semula kenangan sentimental pelanggan termasuk dari UK-AS

BACA LAGI: Tubuh Naza Group pada usia 21 tahun, Allahyarham Nasimuddin kebanggaan Kuala Pilah

Menerusi klip terbabit, seorang lelaki dilihat dihampiri anggota penguatkuasa ketika cuba memberi makan kepada sekawanan burung merpati di sebuah lokasi.

Ketika kejadian, lelaki terbabit yang memakai helmet berwarna sedang memegang plastik berwarna biru dipercayai berisi makanan burung.

Di dalam video terbabit, anggota berkenaan didengar memberikan penjelasan mengenai kesalahan dilakukan sebelum memaklumkan akan mengeluarkan kompaun.

Berdasarkan perbualan itu, lelaki tersebut dilihat agak terkejut selepas diberitahu bahawa dirinya akan dikompaun.

Menjelaskan mengenai tindakan dibuat, anggota penguatkuasa terbabit memaklumkan langkah itu perlu dibuat kerana ia adalah satu peraturan.

Bagaimanapun, di ruangan komen vieo berkenaan, rata-rata warganet melahirkan simpati terhadap situasi dialami lelaki berkenaan.

Malah, netizen juga percaya bahawa bukan sahaja lelaki tersebut, ramai rakyat Malaysia turut tidak mengetahui bahawa memberi makan kepada burung merupakan satu kesalahan yang boleh dikompaun.

Disebabkan itu, mereka berpandangan bahawa pihak berkuasa sepatutnya memberikan amaran terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kompaun bagi kesalahan dilakukan.

"Bagi la amaran dulu kalau nak saman ni. Undang-undang baru mana orang nak tahu," tulis sazali4.

"Dia pun cakap dia tak tahu. Sepatunya bagi amaran. Tak semua orang tua tahu undang-undang dan peraturan," kata hshafiqah.

"Sepatutnya bagi amaran sahaja dulu sebab tak semua orang dapat flyers yang diedarkan.

"Kalau jumpa kali kedua baru boleh kompaun," kata Akhmal Khuzairi.

Dalam satu kenyataan berasingan, MBSP memaklumkan mereka melancarkan operasi Project: Pigeon Purge bagi menangani infestasi burung merpati di Jalan Bagan dan Jalan Jeti Lama pada 17 Mei lalu.

Antara pendekatan bersepadu diambil dalam operasi tersebut termasuk pelupusan 274 ekor burung merpati yang dijala dan dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Selain itu, sebanyak 347 risalah turut diedarkan dan kempen digital dijalankan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya memberi makan burung liar.

Dalam kenyataan sama, MBSP turut memaklumkan sebanyak dua kompaun dikeluarkan terhadap individu yang memberi makan burung, di bawah Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Sementara itu, seorang pengguna di media sosial memaklumkan langkah menangani kehadiran burung merpati terbabit penting kerana kuman kulat histoplasma capsulatum yang terdapat dalam najis haiwan berkenaan boleh menyebabkan pelbagai gejala penyakit.

Antaranya seperti demam, batuk, keletihan dan dalam kes yang teruk menyebabkan jangkitan paru-paru kronik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram