Had laju 30km/j di zon sekolah digazetkan dalam masa terdekat — Anthony Loke


  • Primer
  • Selasa, 29 Apr 2025

Kerajaan akan menggazetkan had laju maksimum 30 kilometer sejam di semua zon sekolah di seluruh negara dalam masa terdekat. 

KERAJAAN akan menggazetkan had laju maksimum 30 kilometer sejam (30km/j) di semua zon sekolah di seluruh negara dalam masa terdekat. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil susulan kadar purata 70 kematian direkodkan setiap tahun di kawasan sekolah, menjadikan keperluan mendesak untuk mengurangkan had laju demi keselamatan pelajar dan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Trafik yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan penurunan had laju tersebut.

BACA LAGI : Sempat larikan diri ke pondok pengawal, remaja hampir diculik ketika berjoging di Shah Alam

BACA LAGI : [VIDEO] Pemancing tergelincir jatuh Sungai Ring ditemukan tak bernyawa hampir 1km dari lokasi lemas

"Majlis Keselamatan Jalan Raya akan melaksanakan program perintis ini di beberapa sekolah terpilih tahun ini. 

"Kita mesti mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya ke-61 pada Selasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

Tambahnya lagi, kajian menunjukkan penurunan had laju kepada 30km/j mampu mengurangkan kadar kematian dan kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya dengan ketara.

Beliau turut menekankan keperluan melengkapkan zon sekolah dengan infrastruktur keselamatan seperti papan tanda amaran, lintasan pejalan kaki, bonggol, pembahagi jalan serta melibatkan penglibatan warden lalu lintas.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diminta untuk mengambil tindakan segera menggazetkan peraturan baharu berkenaan.

"Saya harap proses penggubalan undang-undang ini dapat disegerakan agar penguatkuasaan boleh dijalankan secepat mungkin," katanya.

Loke turut memaklumkan bahawa pelaksanaan had laju zon sekolah ini adalah selari dengan piawaian antarabangsa, dan merupakan antara resolusi yang dipersetujui semasa Persidangan Menteri-Menteri Global Mengenai Keselamatan Jalan Raya yang disertai Malaysia sebelum ini.

Beliau berharap para pengguna jalan raya tidak membantah langkah ini kerana ia bertujuan menjaga keselamatan anak-anak sekolah. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram