
SEMUA Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor diarah mengambil tindakan segera untuk menyita dan memadam iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat ketika mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh beliau pada Jumaat lalu bagi membincangkan cadangan pengharaman penjualan vape di Selangor.
"Tindakan ini selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Hasil Tembakau untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan tajaan berkaitan produk rokok elektronik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah 'pau' pelawat RM50, 'mak guard' Hospital Kajang ditahan polis
BACA LAGI: [VIDEO] Palang lintasan kereta api terbuka tanpa pengawal cetus kebimbangan penduduk Sabah
Jamaliah berkata, mesyuarat itu turut meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan vape termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan dan pemantauan.
Katanya, isu jualan dalam talian turut dibincangkan kerana ia sukar dikawal dan sering menjadi saluran utama remaja mendapatkan produk tersebut.
Menurut laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, dianggarkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun di Malaysia menggunakan rokok elektronik.
Statistik itu juga amat membimbangkan dan memerlukan tindakan proaktif segera di peringkat negeri.
"Justeru, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengadakan mesyuarat susulan tidak lama lagi bagi membincangkan pilihan dasar yang perlu dipertimbangkan sebelum cadangan muktamad dibentangkan pada mesyuarat exco negeri untuk keputusan.
"Langkah itu bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri mengambil kira kesan kepada kesihatan awam dan generasi akan datang," katanya.
Tambahnya, peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat dan agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan amat dialu-alukan bagi memastikan tindakan yang diambil benar-benar berkesan dan mampan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram