[VIDEO] Gadis sambut hari jadi bersedekah belanja minyak motor rider cetus inspirasi, senangnya nak buat pahala


  • Tular
  • Rabu, 21 Mei 2025

Tangkap layar video memaparkan wanita terbabit (gambar kiri) berurusan dengan penjaga kaunter untuk bersedekah menyumbang minyak motor kepada pengguna bersempena sambutan hari jadinya.

SAMBUTAN ulang tahun kelahiran sering kali sinonim dengan acara memotong kek, pemberian hadiah dan kejutan daripada rakan-rakan mahupun ahli keluarga.

Bagaimanapun, seorang wanita memilih untuk meraikan hari jadinya dengan cara unik apabila membuat keputusan untuk bersedekah dengan membelanja pengguna motosikal minyak petrol percuma.

Kisah mengenai kebaikan tersebut dikongsikan di Thread oleh sebuah akaun, budak_kampung78 dalam satu video yang tular sejak Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak muda Kuantan bukan setakat 'restore' topi, malah gamit semula kenangan sentimental pelanggan termasuk dari UK-AS

BACA LAGI: Tubuh Naza Group pada usia 21 tahun, Allahyarham Nasimuddin kebanggaan Kuala Pilah

Dalam klip berkenaan, wanita terbabit yang hanya dikenali sebagai Anis dilihat memaklumkan kepada petugas kaunter untuk memberikan belanja kepada pengguna motosikal yang mengisi bahan api di stesen minyak tersebut.

"Boleh tak saya nak belanja hari ini untuk siapa yang buh minyak motor," katanya yang bercakap dalam loghat Utara.

Di dalam video sama, wanita terbabit turut memaklumkan dia perlu membayar terlebih dahulu belanja berkenaan kerana perlu bergegas ke tempat kerja.

"Orang lain sambut birthday dapat hadiah, tapi akak ni bersedekah dengan belanja rider minyak motor. Semoga dimurahkan rezeki, panjang umur. Selamat Hari Lahir Anis," tulis budak_kampung78.

Dalam pada itu, menerusi video sama, beberapa penunggang motosikal turut melahirkan penghargaan atas tindakan yang dilakukan oleh Anis.

Video ucapan daripada pengguna terbabit diambil oleh petugas di stesen minyak berkenaan.

Di ruangan komen, rata-rata daripada warganet terharu terhadap tindakan murni wanita tersebut sambil mendoakan kebaikan buatnya.

"Birthday dia, aku yang nangis," tulis hey_serahh.

"Apa nak jadi tak tau lahhh, tengok benda macam ini pun boleh berair mata," kata nurainaamokhtar.

"Boleh menjadi inspirasi pada yang lain yang ingin bersedekah," kata zuraini.abdulaziz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram