
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Puchong, Selangor pada Selasa.
Ketika kejadian, mangsa dilaporkan berada di rumah pengasuh sebelum dia dipercayai memanjat tingkap tidak berjeriji sebelum terjatuh ke lantai tingkat lima.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden pada pukul 12.30 tengah hari.
BACA LAGI: Tubuh Naza Group pada usia 21 tahun, Allahyarham Nasimuddin kebanggaan Kuala Pilah
Katanya, anggota polis yang sedang melakukan rondaan tiba di lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang di lantai tingkat lima.
"Pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian mengesahkan kematian mangsa.
"Ketika kejadian ibu mangsa berada di rumah menjaga seorang lagi anak yang sedang menjalani kuarantin manakala bapanya bekerja.
"Siasatan mendapati mangsa memanjat tingkap yang tidak berjeriji sebelum terjatuh," katanya dalam satu kenyataan.
Polis sudah merakam keterangan pengasuh terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram