[VIDEO] Kelantan Darul Naim kembali bernafas, CEO baharu tekad mulakan musim tanpa hutang


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Mohd Irwan juga mendedahkan bahawa rombakan besar-besaran akan dilakukan dalam skuad KDN sebagai persiapan membentuk pasukan yang lebih berdaya saing pada musim depan. — Facebook/KDNFC

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Kelantan Darul Naim FC (KDN), Datuk Mohd Irwan Rizal, optimis bahawa pasukannya mampu memperoleh Lesen Kebangsaan dan seterusnya kekal bersaing dalam Liga Malaysia bagi musim 2025/2026.

Menurut Mohd Irwan, pihak pengurusan kini sedang bekerja keras untuk memastikan semua kriteria yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dipenuhi sebelum tarikh tutup permohonan pada 10 Mei (Sabtu).

Sejurus pelantikannya pada Khamis lalu, beliau meletakkan keutamaan kepada usaha menyelesaikan tunggakan gaji secara berperingkat, dengan persetujuan kedua-dua pihak,lapor Stadium Astro.

BACA LAGI: 'Masih sayang Sabah FC', Khairul Fahmi sah lanjut kontrak setahun bersama The Rhinos

BACA LAGI: Hampir selesaikan 4 'transfer', nampak gayanya tanduk skuad Rusa makin tajam musim depan

“Perkembangannya sangat positif. Hanya beberapa dokumen kecil yang perlu dilengkapkan sebelum dihantar.

"Kami sedang berusaha memastikan setiap syarat dipenuhi dan berharap keputusan MFL akan memihak kepada kami,” katanya kepada Nadi Arena.

Selain memastikan isu tunggakan diselesaikan, Mohd Irwan juga mendedahkan bahawa rombakan besar-besaran akan dilakukan dalam skuad KDN sebagai persiapan membentuk pasukan yang lebih berdaya saing pada musim depan.

Ahli korporat berusia 44 tahun itu turut memberi jaminan bahawa beliau komited untuk tidak mengulangi kesilapan lalu yang membelenggu pasukan dari Pantai Timur itu.

“Fokus kami ialah memulakan musim baharu tanpa sebarang hutang. Kami juga akan berbelanja secara berhemah, mengikut kemampuan sebenar kelab,” jelasnya.

Keyakinan dan pendekatan pragmatik Mohd Irwan memberikan harapan baharu kepada penyokong setia skuad Kijang Emas untuk melihat kebangkitan pasukan secara tersusun dan mampan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram