
NEGARA pada Selasa dikejutkan dengan berita tragis meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Difahamkan, lori FRU Unit 5 yang membawa 18 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.
Tiba di lokasi, kenderaan terbabit kemudiannya dirempuh daripada hadapan oleh lori membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Impak daripada perlanggaran yang berlaku menyebabkan lori FRU Unit 5 terbalik menyebabkan ada antara penumpang tersepit.
Lapan daripada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa yang juga anggota FRU kemudiannya turut menghembuskan nafas terakhir.
Sembilan anggota FRU Unit 5 yang terbunuh dalam nahas pada Selasa.
Siasatan awal mendapati trak dinaiki mangsa dirempuh lori yang membawa muatan batu terbabit selepas ia dikatakan mengalami kegagalan fungsi stereng.
Polis turut menahan pemandu lori batu terbabit untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, polis memaklumkan pemandu berusia 45 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah dengan kebanyakannya berkaitan dadah.
Bagaimanapun, hasil ujian air kencing awal terhadap pemandu lori membawa muatan batu itu menunjukkan keputusan negatif tetapi siasatan lanjut masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, insiden tersebut turut menimbulkan kemarahan warganet.
Antara yang menjadi sasaran tentunya adalah pemandu lori batu terbabit.
Terdapat pihak turut membangkitkan persoalan mengenai tahap pemantauan terhadap lori yang beroperasi di jalan khususnya yang tidak mematuhi standard keselamatan.
Ini kerana kemalangan melibatkan kenderaan berat tersebut dilaporkan terus berlaku tanpa penyelesaian yang tuntas.
Bagi pemerhati automotif negara, Hezeri Samsuri, beliau tampil mempersoalkan motif di sebalik pendedahan kesalahan lampau yang dikongsikan pihak polis.
Polis cakap driver lori ada mcm mcm kesalahan jenayah.
Wow, tengah nak cari kambing hitam ke bang?
Meh saya simbah petrol sikit.
Kalau syarikat penerbangan amek pilot tak berdisiplin, kena saman kaw kaw.
Kalau syarikat pengangkutan darat amek pengguna dadah jadik drebar,… pic.twitter.com/GZ6tRtfg7y
— Hezeri Samsuri (@HezeriSamsuri) May 13, 2025
"Kalau syarikat penerbangan ambil pilot (juruterbang) tak berdisiplin, kena saman kaw kaw.
"Kalau syarikat pengangkutan darat ambil pengguna dadah jadi pemandu, kira makruh sahaja ke?," soalnya menerusi hantaran di X pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengenai tahap pelaksanaan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Projek (KEJARA) yang kat bawah ni, buat hiasan laman web sahaja ke?," ujarnya lagi.
KEJARA mula dilaksanakan pada 15 April 2017 adalah satu sistem diperkenalkan JPJ untuk memantau dan mengendalikan kesalahan jalan raya oleh pemandu.
Sistem ini berfungsi dengan cara memberikan mata demerit kepada pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.
Pemandu yang mengumpulkan terlalu banyak mata demerit dalam tempoh masa yang ditetapkan akan dikenakan tindakan, seperti denda tambahan, pengharaman lesen memandu, atau latihan teori keselamatan jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram