
"AKU kehilangan seorang lelaki bergelar ayah tujuh tahun yang lepas. Hari ini, aku berduka kembali"
Begitu luahan pilu seorang wanita dikenali sebagai Yana Latiff menerusi satu hantaran di media sosial selepas kehilangan abang sulungnya dalam nahas menyayat hati yang melibatkan konvoi Unit 5 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa.
Dalam coretan menyentuh hati di laman Thread Yana Latiff, wanita berkenaan turut berkongsi kesedihan ibunya yang kini kehilangan anak lelaki tunggal dalam insiden berkenaan.
"Berat hati kami, hanya air mata mampu berkata-kata.
"Sesiapa yang membaca ini, tolong sedekahkan Al-Fatihah banyak-banyak untuk abang saya dan anggota lain yang terlibat," tulisnya tanpa memberitahu nama abang sulungnya itu.
Nahas tragik yang berlaku di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan, Perak itu melibatkan pertembungan antara konvoi FRU Unit 5 dan sebuah lori sarat muatan batu dalam satu pelanggaran berdepan.
Difahamkan, konvoi tersebut dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka di Sungai Senam, Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan bantuan keselamatan sempena perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan.
Terdahulu media melaporkan, seramai sembilan anggota FRU dari Unit 5 disahkan maut dalam kemalangan itu.
Lapan daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Insiden tersebut mencetuskan gelombang kesedihan dalam kalangan keluarga mangsa, rakan setugas, dan masyarakat umum yang turut menzahirkan takziah serta mendoakan kesejahteraan semua yang terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram