Waris nahas FRU terima pampasan, bantuan antara RM58,000 hingga RM269,700 — Ayob Khan


  • 112
  • Selasa, 13 Mei 2025

Sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dilaporkan terbunuh dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan pada Selasa.

WARIS kepada sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan, Perak pada Selasa akan menerima pampasan serta bantuan kewangan berjumlah antara RM58,000 hingga RM269,700.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah bantuan tersebut merangkumi pelbagai skim kebajikan yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk sumbangan menerusi Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) sebanyak RM25,000 kepada setiap waris mangsa.

Beliau berkata, PDRM sentiasa komited dalam menjaga kebajikan pegawai dan anggotanya, terutamanya apabila berdepan musibah atau kecemasan ketika menjalankan tugas rasmi.

Menurutnya, menerusi Tabung Kebajikan PDRM, setiap waris kepada anggota yang meninggal dunia akibat bencana kerja akan menerima sumbangan awal sebanyak RM1,200 yang telah disampaikan pada hari kejadian.

BACA LAGI : ‘Dia tak meraung tapi dia tunggu’, isteri kongsi video terakhir arwah Koperal Akmal, rakan terasa hilangnya sahabat suka bergurau

BACA LAGI : 'Hanya air mata mampu berkata-kata,' adik mangsa nahas FRU pilu ibu kehilangan satu-satunya anak lelaki tunggal

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

 

"Di bawah TAPPN pula, bantuan sebanyak RM25,000 akan disalurkan kepada waris kes kematian, manakala bagi kes kecederaan parah atau hilang upaya kekal, jumlah bantuan akan diberikan antara RM8,000 hingga RM11,000 bergantung kepada tahap kecederaan yang dinilai oleh pakar perubatan. 

"Bagi anggota yang mengalami kecederaan ringan pula, bantuan sebanyak RM1,000 akan diberikan," katanya pada Selasa. 

Tambah beliau lagi, selain itu, pampasan turut disediakan menerusi Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM yang melibatkan bayaran secara pukal sebanyak RM20,000 kepada waris anggota yang meninggal dunia, di samping bayaran bulanan kepada waris yang layak. 

Bagi kes hilang upaya kekal, pampasan akan diberikan sama ada dalam bentuk bayaran pukal atau bayaran bulanan, bergantung kepada tahap kehilangan upaya. 

Sekiranya tahap hilang upaya melebihi 21 peratus, anggota terbabit layak menerima kedua-dua jenis pampasan, manakala bagi yang mengalami kehilangan upaya kurang daripada 20 peratus, hanya bayaran bulanan akan diberikan. 

Semua pembayaran di bawah skim ini tertakluk kepada penilaian dan pengesahan daripada pakar perubatan.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut memaklumkan bahawa Koperasi PDRM menyediakan bantuan khairat kematian sebanyak RM1,500 untuk setiap waris, selain pampasan insurans berjumlah antara RM36,000 hingga RM211,000, bergantung kepada jumlah caruman yang telah dibuat oleh anggota semasa hayat mereka.

Sebagai tambahan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut tampil menyampaikan sumbangan kebajikan berjumlah RM11,000 kepada setiap waris anggota yang terkorban, dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM2,000 telah diserahkan hari ini.

"PDRM mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada semua keluarga yang terlibat dalam tragedi ini dan kami akan terus memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram