Kelayakan Piala Asia persiapan terbaik Malayan Tigress ke Sukan SEA — Soleen Al-Zoubi


  • Podium
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama pasukan pilihan Korea Utara, Palestin, dan Tajikistan. — Facebook/FAM

SKUAD bola sepak wanita negara, Malayan Tigress berazam untuk memberikan saingan sengit dalam pusingan kelayakan Piala Asia Wanita walaupun mereka diundi dalam kumpulan yang mencabar.

Skuad kendalian jurulatih Soleen Al-Zoubi itu ditempatkan dalam Kumpulan H bersama pasukan pilihan Korea Utara, Palestin, dan tuan rumah, Tajikistan. Kejohanan kelayakan itu akan berlangsung dari 23 Jun hingga 5 Julai di Tajikistan.

Menurut format pertandingan tersebut, hanya juara setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 21 Mac tahun depan di Australia. 

BACA LAGI: Jangka ramai lagi warisan sertai Malaysia, Hector Hevel kongsi beraksi di JDT buka hati terbuka sertai HM

BACA LAGI: [VIDEO] Hector Hevel bukan scam, gameplay Cklamovski ala-ala JDT bukti revolusi beri sinar baharu

Setakat ini, empat pasukan telah mengesahkan tempat mereka secara automatik, iaitu pasukan tuan rumah iaitu Australia, China, Korea Selatan, dan Jepun.

Dalam saingan Kumpulan H, Korea Utara dijangka menjadi pencabar utama berdasarkan rekod cemerlang mereka dalam kejohanan ini. Pasukan itu telah menjuarai Piala Asia Wanita sebanyak tiga kali pada tahun 2001, 2003, dan 2008.

Jurulatih Malayan Tigress kelahiran Jordan itu mengakui cabaran getir yang menanti pasukannya, terutama dalam pertembungan menentang Korea Utara.

Pengendali Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi. — Facebook/HarimauMalaya

“Bermain menentang Korea Utara adalah misi yang sukar. Mereka mempunyai pemain yang pernah menjuarai Piala Dunia Bawah-17 dan Bawah-20. Mereka juga telah menjuarai Piala Asia sebanyak tiga kali, jadi mereka adalah pasukan yang disegani.

"Selain itu, kami tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan senior, jadi itu menjadikan tugas itu lebih mencabar," kata pengendali berkenaan. 

Dalam pada itu, Al-Zoubi menegaskan bahawa pasukan Malaysia telah bersedia untuk berdepan Palestin dan Tajikistan.

“Kami pernah bermain menentang Palestin sebelum ini, mereka pasukan yang bagus tetapi kami sudah bersedia. Tajikistan pula adalah pasukan yang sedang berkembang. Kami seharusnya mampu bersaing dan semoga dapat melayakkan diri ke Piala Asia,” katanya. 

Malaysia ketika menentang Palestin pada Kelayakan Piala Asia 2022 pada 2021. — Facebook/FAM

Dalam pada itu, Al-Zoubi juga menyatakan beberapa cabaran lain yang perlu diatasi oleh pasukan negara, termasuk perjalanan jauh dan penyesuaian dengan perbezaan waktu dengan negara lain. 

“Cabaran lain ialah perjalanan dan juga menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu. Selain itu, liga wanita kebangsaan belum bermula, tetapi saya dimaklumkan ia akan bermula pada akhir April,” jelasnya.

Saingan kelayakan Piala Asia Wanita itu juga dijangka menjadi medan terbaik bagi pasukan negara untuk membuat persiapan menjelang Sukan SEA yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini.

Malaysia kali terakhir melayakkan diri ke Piala Asia Wanita pada tahun 2001 dan berharap untuk mengulangi kejayaan tersebut dalam edisi kali ini. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram