Benam Singapura walaupun servis tumpul, Malaysia mungkin buat 'rotation' jumpa Filipina


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Syahir Rosdi (tengah) sering melakukan kesilapan servis semasa bertemu Singapura. — PSM

MALAYSIA tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke suku akhir acara regu Piala Asia ASTAF selepas mudah membenam Singapura 15-9, 15-6 pada aksi kedua peringkat kumpulan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Selasa.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir dengan perlawanan bertemu Filipina pada Rabu hanyalah pelengkap jadual untuk menentukan juara dan naib juara kumpulan.

Walaupun sudah meraih kemenangan ke atas Nepal dan Singapura, jurulatih skuad regu, Ahmad Mohd Zin masih melihat terdapat isu dalam pasukannya.

BACA LAGI: 'Kita tutup buku', kempunan juara beregu, Presiden PSM desak buru 2 baki gelaran

BACA LAGI: Tiada masalah tundukkan Jepun, Malaysia muncul Raja Kuadran Asia

Isu yang dapat dilihat adalah dari segi servis dengan tekong utama, Syahir Rosdi sering melakukan kesilapan servis (service error) hingga ia memberikan mata buat Singapura.

Lebih perit, kesilapan dilakukan Syahir terutamanya pada set pertama memberikan lebih banyak mata kepada Singapura berbanding mata yang diperoleh mereka sendiri.

Bagi Ahmad, ia menjadi keperluan untuknya membantu para pemainnya membaiki kualiti servis sebelum turun berdepan Filipina yang turut menewaskan Nepal dan Singapura.

"Ya, itu adalah semestinya (servis perlu dibaiki). Esok (Rabu) kita akan turun menentang Filipina, sebelum itu kita akan lakukan post-mortem dengan para pemain.Kita juga akan melakukan perkara yang sama terhadap permainan Filipina selepas perlawanan (menentang Singapura).

"Dari segi balingan, saya juga akan lakukan peningkatan untuk pastikan bola itu sampai ke tempat sepatutnya (kepada tekong)," jelas Ahmad kepada media selepas perlawanan.

Melihat kepada situasi Malaysia sudah sah ke suku akhir, Ahmad memberi bayangan akan memberikan peluang kepada pemain yang jarang diturunkan untuk berdepan Filipina.

"Kita akan buat perbincangan dengan barisan kejurulatihan terlebih dahulu. Apa-apa pun kita tunggukan saja perlawanan pada Rabu.

"Kalau ada pemain yang luar dari linkungan pemain utama itu, Insya-ALLAH kita akan beri mereka peluang," jelas Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram