Saya harap tiket 'laku keras' masa Piala Asia ASTAF — Datuk Sumali


  • Podium
  • Isnin, 21 Apr 2025

Sumali (tengah, memegang mikrofon) berharap sambutan hangat penyokong sepak takraw negara di Piala Asia ASTAF.

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan mengharapkan sambutan hangat ditonjolkan oleh penyokong menjelang Piala Asia ASTAF yang akan diadakan buat pertama kali pada Mei depan.

Kejohanan yang diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 10 hingga 18 Mei itu menyaksikan empat kategori dipertandingkan iaitu regu, campuran, beregu dan kuadran (4v4).

Melihat kepada sambutan hangat sewaktu Piala Dunia ASTAF pada tahun lalu, Sumali berharap sambutan hangat akan ditonjolkan terutamanya daripada penyokong Malaysia yang beraksi di tempat sendiri.

BACA LAGI: Piala Asia ASTAF: Bagai langit dan bumi, Malaysia-Thailand berdepan undian berbeza

BACA LAGI: PSM terima lamaran ASTAF anjur Piala Asia 2025

Sesi undian yang diadakan di Pusata Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Dengan kapasiti Stadium Titiwangsa yang boleh memuatkan 2,000 penyokong pada satu-satu masa, Sumali berharap jumlah itu boleh dibesarkan sehingga 2,500.

"Kalau dalam stadium, kami memang sasarkan untuk kapasiti 2,000 orang atau pun sehingga 2,500 orang dapat dipenuhi. Itu pun kita akan pantau supaya tidak berlaku limpahan penyokong hingga ia terlalu penuh atau padat dalam stadium.

"Dalam masa yang sama, jika perlu kami akan pasang skrin besar di luar stadium namun bergantung kepada perlawanan. Berkemungkinan separuh akhir dan perlawanan akhir.

"Keutamaan akan dilakukan bagi perlawanan melibatkan skuad Malaysia, saya harap hype akan ada sampai ke perlawanan akhir dan tiket pun habis dijual," kata Sumali kepada Majoriti.

Bagi Piala Asia kelak, karnival turut akan diadakan di luar stadium bagi memastikan kemeriahan berterusan sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurut Sumali, pelbagai aktiviti akan diadakan dengan jualan makanan, persembahan menarik untuk menarik perhatian pengunjung.

Harga tiket bagi Piala Asia ASTAF akan dijual pada RM10 bagi aksi peringkat kumpulan dan RM15 untuk separuh akhir dan akhir.

Tiket boleh dibeli secara terus di stadium atau menerusi atas talian menerusi laman Ticket Hotline. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram