
KANCAH bola sepak tempatan baru-baru ini dikejutkan dengan berita mengenai Perak FC yang secara rasminya menarik diri dari saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.
Susulan perkembangan tersebut, bekas Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh tampil memberikan reaksi serta meluahkan penghargaan kepada syarikat XOX Berhad yang disifatkan sebagai penyelamat utama kelab itu sejak tahun 2022.
“Bukan mudah untuk menguruskan sebuah kelab bola sepak dalam keadaan ekonomi sekarang. Terima kasih kepada XOX kerana telah mengembalikan Perak FC ke landasan yang betul," katanya di laman Facebook.
BACA LAGI: [VIDEO] Pilihan bijak misi Asia, Alvin Fortes-Noor Al-Rawabdeh kekal tonggak import Gergasi Merah
BACA LAGI: Tak usah risau, anak jati Sabah boleh 'cover' posisi ketua kampung Likas
Perak FC sah tidak beraksi saingan Liga Super musim depan. — Facebook/Perakfc
Menurutnya, sejak penswastaan diperkenalkan, beban pengurusan tidak lagi terletak sepenuhnya di bahu kerajaan negeri.
Namun, tidak dilupakan juga jasa kerajaan yang selama ini menyalurkan peruntukan besar saban tahun sekitar RM20 hingga RM30 juta sebelum kelab berstatus FC diwujudkan.
"Bila sebut penswastaan maka segala-galanya bukan lagi di bawah kerajaan negeri.
"Kita berterima kasih juga kepada kerajaan negeri kerana banyak membantu sejak sekian lama sebelum wujudnya FC, setiap tahun jutaan ringgit dipakai habis untuk bola sepak," ujarnya.
Mengenai isu kewangan, beliau turut mendedahkan perbezaan ketara dalam struktur gaji pemain berbanding ketika awal penubuhan Perak FC pada 2021.
Menurutnya, gaji pemain import mencecah lebih RM100,000 sebulan, manakala pemain tempatan sekitar RM50,000 ketika itu.
Kini, kadar gaji lebih terkawal dengan purata sekitar RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.
“Dulu, bila fikir pasal gaji, berpeluh setiap bulan. Sekarang, lebih berpatutan. XOX berjaya letakkan semula asas kewangan pasukan dengan baik,” katanya lagi.
Pemain Perak FC bergambar selepas aksi terakhir menentang Sabah FC di Stadium Likas. — Facebook/Perakfc
Namun begitu, beliau juga mengingatkan bahawa selagi Perak FC berada dalam ekosistem Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), keperluan seperti perlesenan kelab, laporan kewangan, bayaran KWSP dan penyelesaian tuntutan ejen pemain tetap perlu dipatuhi.
Beliau turut berkongsikan pengalaman yang pernah berlaku sebelum ini iaitu tuntutan dari ejen Korea Selatan dan Brazil hampir menggagalkan penyertaan pasukan ke liga namun berjaya diselesaikan pada 2022.
Menjelang masa depan yang masih kabur, beliau menyeru agar ada pihak atau syarikat yang tampil membeli dan mengambil alih Perak FC demi menghidupkan semula semangat bola sepak rakyat Perak.
“Saya harap akan ada individu yang sudi beli Perak FC. Kita pernah jadi ‘team kayangan’ tapi poket kosong. Sekarang, struktur dah lebih stabil.
"Kalau tak ada pembeli, mungkin penyokong boleh beralih menyokong Manjung City FC, seperti mana Kuching City FC yang mewakili Sarawak dalam MFL,” ujarnya.
Rakyat Perak pastinya kini menanti sinar baharu sama ada melalui pemilik baharu atau kelab baharu yang boleh mengangkat kembali maruah bola sepak negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram