Tak usah risau, anak jati Sabah boleh 'cover' posisi ketua kampung Likas


  • Podium
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Tae-su pernah menyatakan kesanggupan untuk menamatkan karier bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

KEM Sabah FC baru-baru ini menerima khabar kurang enak selepas pertahanan kelahiran Korea Selatan, Park Tae-su dikatakan mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Borneo itu.

Tae-Su merupakan tonggak utama pasukan Sabah sejak tiba dari Korea Selatan pada Januari 2019 lalu dan menjadi watak utama di benteng pertahanan hingga diangkat selaku kapten.

Namun, hasrat untuk melihat Tae-Su bersama Sabah musim hadapan tidak kesampaian apabila pertahanan itu memuat naik ucapan perpisahan yang menyentuh hati di laman Facebook.

BACA LAGI: Sukar tembus '1st Eleven', hanya panaskan bangku simpanan antara resahkan fans TFC andai Safawi Rasid kembali ke JDT

BACA LAGI: ‘Selesaikan hutang lapuk dulu sebelum mahu selamatkan bola sepak Kelantan’

 

Menurut Tae Su, pengalaman berada di Malaysia selama tujuh tahun amatlah istimewa terutamanya buat dirinya yang datang selaku pemain asing namun dilayan seperti keluarga.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Sabah mengenai perkara tersebut.

Meskipun kehilangan Tae-su atau lebih mesra disapa Ketua Kampung Likas itu dirasai, namun terdapat beberapa anak jati Sabah dijangka mampu mengisi posisinya di bahagian pertahanan.

1. Rawilson Batuil

Nama pertahanan berpengalaman Sabah FC sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan penyokong Sang Badak.

Rawilson Batuil telah menjadi tonggak utama pasukan sejak menyertai mereka pada tahun 2014 dan terus setia bersama Sang Badak sehingga kini.

Sebagai anak jati Kota Marudu, Rawilson telah melalui pelbagai fasa bersama Sabah dari saat sukar hingga ke detik gemilang. Kesetiaannya membuahkan hasil apabila membantu pasukan menjuarai Liga Premier 2019, sekali gus melonjakkan Sabah ke saingan Liga Super.

Rawilson Batuil (tengah) antara pemain yang dilihat mampu menggantikan posisi Tae-su.  Facebook/Sabahfc

Bukan itu sahaja, persembahan konsistennya bersama Sabah turut membuka peluang untuk menyarung jersi kebangsaan, dengan penampilan sulung bersama skuad Malaysia direkodkan pada September 2018.

Dengan pengalaman luas serta semangat juangnya yang tinggi, Rawilson dilihat sebagai antara calon paling layak untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Tae-su di benteng pertahanan Sabah FC pada musim depan.

Untuk rekod, dia telah membuat 25 penampilan liga musim ini, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya peranannya dalam skuad. Tidak hairanlah jika ketua jurulatih, Martin Stano terus menagih khidmatnya bagi memperkukuh barisan pertahanan The Rhinos.

2. Hanafie Tokyo

Anak jati kelahiran Tongod, Sabah, Hanafie Tokyo semakin mencuri tumpuan sebagai calon pengganti ideal untuk mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan oleh Tae-su dalam barisan pertahanan Sabah FC.

Meskipun peluang untuk beraksi sebagai pemain kesebelasan utama masih terhad, Hanafie menunjukkan potensi besar setiap kali diturunkan.

Aksi lincah dan agresifnya di atas padang kerap kali mengganggu keseimbangan pertahanan lawan, sekali gus membuktikan bahawa dia mampu beradaptasi dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Anak jati kelahiran Tongod, Sabah, Hanafie Tokyo.  Facebook/Sabahfc

Dengan ketinggian 1.74 meter, Hanafie tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikal, tetapi turut memanfaatkan kelajuan serta kelincahannya untuk membaca permainan dan memintas gerakan lawan.

Keupayaan itu bukan sahaja memberikan kelebihan dalam situasi satu lawan satu, malah membuka ruang untuk menyokong serangan balas pasukan.

Ciri-ciri tersebut menjadikan Hanafie bukan sekadar pemain simpanan, tetapi aset jangka panjang buat Sabah FC sekiranya dibimbing dan diberikan minit permainan yang konsisten.

3. Naaim Firdaus

Sekiranya benarTae-su bakal meninggalkan kelab pada musim depan, Naaim Firdaus dilihat sebagai antara pilihan yang wajar dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan di bahagian pertahanan Sabah FC.

Walaupun jarang diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama, Naaim memiliki pengalaman berharga ketika bersama pasukan Imigresen FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro, yang memberi pendedahan berguna di peringkat kompetitif.

Naami sebelum ini pernah beraksi untuk Imigresen FC.  Instagram/naaim.frds

Pengalaman tersebut dijangka mampu membantunya menyesuaikan diri dengan corak permainan yang lebih mencabar di Liga Super, selain menyumbang kestabilan dan kedalaman skuad dalam aspek pertahanan.

Gabungan potensi, ketahanan fizikal serta kefahaman taktikal menjadikan Naaim antara calon yang berpotensi untuk mengisi peranan penting dalam barisan pertahanan Sabah sekiranya diberi peluang yang konsisten. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram