Bukan TFC atau Kuching City, Tommy Mawat sebaliknya dirisik kelab Lembah Klang


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Sebahagian daripada aksi mantap Tommy ketika mengawal rapi gerakan serangan Sabah FC. — Facebook/Perakfc

TONGGAK pertahanan Perak FC, Tommy Mawat Bada kini dilaporkan berada dalam radar salah satu kelab berpangkalan di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur City FC.

Difahamkan, KL City antara pasukan yang menunjukkan minat serius terhadap pemain kelahiran Sarawak itu, susulan pengunduran rasmi Perak FC daripada saingan Liga Super musim depan.

Situasi itu telah membuka peluang kepada beberapa kelab untuk merebut khidmat pemain-pemain utama The Bos Gaurus (TBG) termasuk Tommy.

BACA LAGI: ‘Selesaikan hutang lapuk dulu sebelum mahu selamatkan bola sepak Kelantan’

BACA LAGI: 'Derita sejagat', bekas import kelab Borneo 'sangkut' 5 bulan gaji bersama kelab Indonesia

Bek berbisa Perak FC, Tommy Mawat. Facebook/Perakfc

Menurut pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi, KL City dijangka bersaing dengan dua lagi kelab, Terengganu FC dan Kuching City FC yang turut dilaporkan memantau perkembangan pemain berusia 29 tahun itu.

“Kuala Lumpur City dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas tonggak pertahanan Perak, Tommy Mawat, bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2025/26,” katanya menerusi laman X.

Sebelum ini, pemerhati sukan T. Avineshwaran juga melaporkan bahawa Terengganu FC dan Kuching City sedang mencari pemain bek kiri baharu dan Tommy dilihat sebagai calon sesuai berdasarkan keupayaan serta pengalaman luasnya di pentas Liga Malaysia.

Dikenali dengan ketenangan dalam permainan serta versatiliti untuk beraksi di posisi pertahanan dan tengah, Tommy dijangka mampu memberikan dimensi baharu kepada barisan pertahanan Kuala Lumpur City FC.

Keupayaannya menyesuaikan diri di beberapa posisi dijangka menjadi aset penting, khususnya dalam menghadapi perubahan taktikal yang sedang dirancang oleh barisan kejurulatihan menjelang musim 2025/26.

Selain kebolehan mengekang asakan lawan, Tommy juga mempunyai kelebihan dalam mencipta peluang menerusi situasi bola mati menjadikannya aset yang bernilai buat mana-mana pasukan yang berjaya mendapatkan khidmatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram