Bek Tok Gajah mahu tembusi skuad Harimau Malaya lepas tampil cemerlang final Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Pertahanan kental Tok Gajah, Adam Nor Azlin menampilkan prestasi cukup cemerlang dalam mengekang jentera serangan Harimau Selatan. — Facebook/Sripahangfc

AKSI cemerlang pertahanan tengah Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 baru-baru ini berpotensi membuka laluan untuk dia kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.

Walaupun Pahang tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain berusia 29 tahun itu tampil cemerlang di benteng pertahanan, merekodkan enam terjahan bersih serta beberapa halangan penting yang berjaya menyukarkan pergerakan jentera serangan JDT sepanjang perlawanan.

Bekas tonggak Harimau Muda itu juga menunjukkan prestasi konsisten sepanjang musim ini, dengan 28 penampilan dalam semua kejohanan dan turut menyumbang tiga gol dalam saingan Liga Super, satu bukti keupayaan serba boleh serta semangat juangnya yang tinggi.

BACA LAGI: Tak usah risau, anak jati Sabah boleh 'cover' posisi ketua kampung Likas

BACA LAGI: 'Lupakan sekejap bola sepak,ada rezeki jumpa lagi', bekas jeneral Harimau Malaya mungkin tinggalkan JDT

Pertahanan kental Tok Gajah, Adam Nor Azlin. — Facebook/Sripahangfc

Kali terakhir Adam menyarung jersi skuad kebangsaan adalah pada 2019, ketika membantu Malaysia mencatat kemenangan 1-0 dalam aksi persahabatan menentang Tajikistan.

Walaupun dipanggil semula pada 2021 namun Adam tidak diturunkan dalam sebarang perlawanan.

Kini, dengan saingan sengit di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski yang turut mempunyai pilihan seperti Dominic Tan, Harith Haiqal dan Shahrul Saad, bek Tok Gajah itu sedar persaingan sangat mencabar namun itu tidak mematahkan semangatnya.

“Sasaran saya musim ini mudah iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak minit yang mungkin dan beraksi.

"Bercakap mengenai pasukan kebangsaan, terpulang kepada jurulatih untuk menentukan siapa yang sesuai dalam rancangan mereka.

"Sudah tentu saya mahu kembali bersama Harimau Malaya. Tapi buat masa sekarang, saya hanya akan terus fokus melakukan tugas saya," katanya.

Meskipun Pahang gagal menjulang trofi, Adam tetap berbangga dengan semangat juang pasukannya.

“Walaupun kami tewas, ia terasa seperti kemenangan kerana cara kami bermain. Kami berjuang hingga ke wisel penamat dan kami puas hati kerana telah memberikan segalanya," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram