Pernah jadi anak didik Katsuhito Kinoshi di Liga Super China, winger Colombia antara calon ganti Orozco


  • Podium
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Orozco menjadi watak penting dalam skuad Gergasi Merah dengan kelincahan serta pengalaman luasnya memperkukuh bahagian tengah pasukan. — Instagram/Orozco

BARU-BARU ini, perancang tengah Selangor FC, Yohandry Orozco memberi bayangan bahawa dia mungkin tidak lagi bersama pasukan Gergasi Merah musim depan.

Skuad Gergasi Merah berjaya menamatkan saingan Liga Super musim 2024/25 sebagai naib juara untuk kali kedua berturut-turut, mengumpul 52 mata selepas 24 perlawanan.

Namun, selepas musim berakhir, beberapa tonggak utama Gergasi Merah dilihat mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan, antaranya penjaga gol Khairul Azhan Khalid, Khuzaimi Piee dan juga kapten, Safuwan Baharudin.

BACA LAGI: 'Lupakan sekejap bola sepak,ada rezeki jumpa lagi', bekas jeneral Harimau Malaya mungkin tinggalkan JDT

BACA LAGI: Bukan TFC atau Kuching City, Tommy Mawat sebaliknya dirisik kelab Lembah Klang

Orozco menerusi satu hantaran di media sosial dilihat memberi bayangan bahawa dia mungkin tidak akan bersama Selangor pada musim depan, dengan ucapan terima kasih buat pasukan.

Perkara tersebut pastinya mengejutkan penyokong Gergasi Merah, yang merasakan kehilangan besar di bahagian tengah pasukan apatah lagi bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) musim depan.

Walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi dari pihak Selangor mengenai masa depan Orozco, penyokong Gergasi Merah tidak perlu terlalu risau kerana terdapat beberapa calon berpotensi yang sesuai untuk menggantikan pemain kelahiran Venezuela itu.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga calon yang dilihat memiliki kelebihan untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Orozco sekali gus membantu Kinoshi membuat persiapan untuk ACL 2.

1. Jown Cardona

Pemain sayap kiri, Jown Cardona kini disebut-sebut sebagai antara calon awal yang berpotensi menggantikan Orozco di Selangor FC musim depan dalam membantu Gergasi Merah bersaing di peirngkat Asia.

Pemain kelahiran Colombia itu bukanlah nama asing buat Ketua Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi memandangkan mereka pernah bekerjasama ketika Kinoshi menjadi pembantu jurulatih kelab China, Guangzhou City R&F bagi musim 2021 hingga 2022.

Dengan ketinggian 1.70 meter serta pengalaman luas di peringkat antarabangsa, harapan penyokong untuk melihat Cardona menyarung jersi Gergasi Merah mungkin menjadi kenyataan, apatah lagi dia kini berstatus ejen bebas menurut laman Transfermarkt.

Pemain sayap kiri, Jown Cardona antara calon sesuai menggantikan Orozco. — Instagram/jowncardonaoficial

Tambahan pula, kehadirannya ke dalam pasukan dijangka tidak berdepan masalah besar dari segi penyesuaian taktikal, memandangkan dia sudah memahami corak permainan Kinoshi semasa bersama di China.

Untuk rekod, Cardona telah membuat 43 penampilan bersama Guangzhou R&F sepanjang tempoh itu, menyumbang lapan gol dan tiga bantuan jaringan, satu pencapaian yang menunjukkan kemampuan serta keserasiannya dalam sistem yang dibawa oleh Kinoshi.

2. Hendrio Araujo

Pemain import Vietnam, Hendrio Araujo antara pemain luar yang kini disebut-sebut sebagai calon sesuai untuk menggantikan Orozco di Selangor FC musim depan.

Bersama Nam Dinh FC musim ini, pemain kelahiran Brazil itu membuat lapan penampilan dalam V.League 1 dengan menjaringkan tiga gol dan mencipta tiga hantaran bantuan.

Hendrio yang kini berstatus ejen bebas dan mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan ACL2 2024 bersama penyerang berbisa Brazil, Rafaelson Fernandes ketika mewakili Nam Dinh FC.

Hendrio Araujo (tengah) kini berstatus sebagai ejen bebas. — Instagram/hendrio77araujo

Pengalamannya beraksi di peringkat Asia dijangka mampu memberikan kelebihan buat Selangor jika ingin melangkah lebih jauh di pentas Asia.

Pada 2021, Hendrio memulakan karier di Vietnam bersama Quy Nhon Binh Dinh FC, mencatatkan 35 penampilan dan menjaringkan sembilan gol sehingga 2022.

Hendrio kemudiannya menyertai Thep Xanh Nam Dinh FC pada 1 Januari 2023 dengan kontrak sehingga 30 Jun 2025. Di kelab itu, Hendrio memainkan peranan penting dalam membantu mereka menjuarai V.League 1 musim 2023/24 serta memenangi Piala Super Vietnam.

Dengan latar belakang akademi elit, pengalaman merentas pelbagai liga serta pencapaian membanggakan di Vietnam, Hendrio merupakan antara pemain yang wajar direkrut Selangor FC.

3. Haykal Danish

Peluang untuk pemain muda Selangor FC II, Haykal Danish mendapatkan lebih banyak minit permainan bersama skuad utama musim depan boleh dianggap sebagai langkah penting dalam pembangunan bakat tempatan.

Namun, untuk menggantikan pemain berpengalaman seperti Orozco secara langsung masih memerlukan masa dan proses yang matang.

Haykal telah menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang di bahagian tengah, terutamanya dalam kempen Piala MFL bersama Selangor FC II sekali gus membantu kelab Lembah Klang itu muncul naib juara.

Haykal Danish (kanan) membantu Malaysia meraih kemenangan dalam aksi bertemu Oman. — Facebook/FAM

Penguasaannya di atas padang dan ketenangan ketika mengatur serangan menjadikan dia antara pemain muda paling menyerlah dalam kejohanan tersebut.

Tidak mengejutkan jika Selangor memilih untuk mengetengahkan bakat muda seperti Haykal bagi musim akan datang selari dengan usaha pembangunan akar umbi kelab.

Malah, dia juga memiliki kelebihan dari segi pengalaman antarabangsa setelah beraksi di pentas Asia bersama skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Kebangsaan dalam Kelayakan Piala Asia Bawah 20 (B-20) musim lalu sesuatu yang jarang dimiliki oleh pemain muda sebayanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram