MFL respons kenyataan Penang FC, fans akur tindakan lanjutan tarikh demi meriahkan liga


  • Podium
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Penang FC sebelum ini secara terbuka menegur keputusan FIB yang meluluskan permohonan lanjutan tersebut. — Facebook/Penangfc

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) ingin menjelaskan bahawa keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) untuk melanjutkan tempoh permohonan Lesen Kebangsaan bagi musim 2024/2025 dibuat mengikut peruntukan yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024/2025.

Dalam kenyataan pada Jumaat, MFL memaklumkan bahawa FIB mengambil maklum kenyataan kelab Liga Super yang dikongsikan melalui media sosial baru-baru ini berkaitan tarikh akhir penyerahan dokumen Pelesenan Kelab untuk kitaran tersebut.

“Jawatankuasa FIB menghargai komitmen kelab-kelab yang telah melengkapkan proses memuatnaik dokumen ke dalam sistem pelesenan AFC CLAS pada atau sebelum 30 April 2025, selaras dengan tarikh akhir asal yang telah ditetapkan.

BACA LAGI: 'Lupakan sekejap bola sepak,ada rezeki jumpa lagi', bekas jeneral Harimau Malaya mungkin tinggalkan JDT

BACA LAGI: Bukan TFC atau Kuching City, Tommy Mawat sebaliknya dirisik kelab Lembah Klang

“Namun begitu, berdasarkan permohonan bertulis daripada beberapa kelab, FIB telah mempertimbangkan dan meluluskan lanjutan tarikh akhir penyerahan dokumen sehingga selewat-lewatnya 10 Mei 2025.

“Keputusan lanjutan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8 (a), yang menyatakan bahawa "The decision-making bodies must operate according to the principles of natural justice and must as a minimum regulate the following standards: deadlines (e.g. submission deadline, etc.);" serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap permohonan dan kes yang dikemukakan,” jelas MFL.

Dengan lanjutan itu, MFL berharap semua kelab yang terlibat dapat melengkapkan proses pemuatan naik dokumen dalam tempoh lanjutan yang ditetapkan, iaitu pada atau sebelum 10 Mei 2025.

Sebelum ini, Penang FC secara terbuka menegur keputusan FIB yang meluluskan permohonan lanjutan tersebut.

Mereka menyifatkan amalan melanjutkan tarikh akhir secara berulang sebagai satu langkah ke belakang yang boleh menjejaskan disiplin dan komitmen terhadap pematuhan peraturan liga.

Kelab Utara tanah air itu turut melahirkan kebimbangan bahawa sikap memberi kelonggaran berterusan boleh membawa kesan buruk terhadap keseluruhan ekosistem bola sepak negara.

Walau bagaimanapun, keputusan lanjutan itu turut menerima sokongan daripada sebahagian penyokong bola sepak tempatan yang melihatnya sebagai langkah untuk memastikan lebih banyak pasukan dapat menyertai saingan liga musim hadapan.

"MFL desperate sebab kelab makin sikit, kelab-kelab yang daftar ikut tarikh asal wajar diberikan tiga mata extra bagi menghargai komitmen mereka dalam menyediakan pasukan bagi Liga M tahun depan," kata Amry Ridhwan.

"Tidak apa lah, nak cari pasukan untuk cukup korumlah itu, banyak team lagi meriahkan," kata Rosdi Jaafar.

"Nampak sangat terdesak perlukan kelab untuk Liga Super, kalau tegas nanti banyak kelab tak dapat masuk liga," kata Marshall D Aus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram