'Lupakan sekejap bola sepak,ada rezeki jumpa lagi', bekas jeneral Harimau Malaya mungkin tinggalkan JDT


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Skuad Harimau Selatan dikatakan bakal kehilangan jeneral tengah berpengalaman musim depan. — Facebook/JST

TONGGAK tengah berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim memberi bayangan mengenai masa depannya bersama kelab Harimau Selatan menjelang musim 2025/26, sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X, Safiq dilaporkan berkemungkinan besar akan bersara.

“Lupakan sekejap bola sepak, ada rezeki jumpa lagi, Safiq Rahim on masa depan bersama JDT, kekal beraksi atau bersara," katanya.

BACA LAGI: Bukan TFC atau Kuching City, Tommy Mawat sebaliknya dirisik kelab Lembah Klang

BACA LAGI: Kedah tunai janji, kelibat bintang Portugal di Darul Aman legakan hati penyokong

Pada usia 37 tahun, bekas kapten skuad kebangsaan itu kini semakin jarang diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JST

Hantaran tersebut seolah-olah memberi isyarat bahawa bekas jeneral tengah Harimau Malaya itu sedang mempertimbangkan untuk menggantung but selepas sekian lama mewarnai kancah bola sepak negara.

Pada usia 37 tahun, bekas kapten skuad kebangsaan itu kini semakin jarang diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan, namun pengaruhnya dalam kelab tetap besar.

Meskipun hantaran itu dianggap santai namun ia seolah-olah menggambarkan bahawa Safiq masih dalam fasa menilai masa depannya dalam dunia bola sepak kerana belum memberikan keputusan muktamad sama ada untuk bersara sebagai pemain atau sebaliknya.

Tidak mustahil sekiranya Safiq memilih untuk terus menyumbang kepada JDT dalam peranan yang berbeza seperti jurulatih atau pegawai teknikal, memandangkan pengalaman dan pengaruh besarnya dalam skuad Harimau Selatan.

Peminat JDT kini pastinya menantikan pengesahan rasmi daripada Safiq atau pihak kelab mengenai hala tuju pemain itu.

Safiq akan dikenang sebagai antara pemain tengah terbaik dalam sejarah bola sepak Malaysia dengan rekod kejuaraan yang mengagumkan termasuk kejayaan bersama JDT dan pasukan kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram