Luqman Hakim pilih pulang ke Malaysia, ini 4 wonderkid hilang dari radar Liga M


  • Podium
  • Sabtu, 08 Mac 2025

KV Kortrijk kelab yang bertanggungjawab membawa Luqman ke Eropah.

BEKAS peledak Harimau Muda, Luqman Hakim Shamsudin dikhabarkan akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia selepas hampir lima tahun berkelana di Eropah termasuk mewakili kelab Jepun, Yokohama SCC.

Menerusi laporan media, pemain berusia 23 tahun itu sedang meneliti beberapa tawaran daripada kelab-kelab Malaysia untuk mendapatkan minit permainan susulan penamatan kontrak bersama KV Kortrijk pada Jun depan.

Faktor utama Luqman kembali ke Malaysia kerana mahu lebih dekat dengan ibunya selepas pemergian ayahanda tercinta, Shamsudin Mahmood pada 3 November tahun lalu.

BACA LAGI: Hanya rekod 4 'shot' lawan Buriram United, peledak Iran dan rakan Jese antara 3 nama sesuai pertajam JDT di ACLE

BACA LAGI: Bina reputasi di Liga M, sayangnya 3 import sensasi dilarang sarung jersi Harimau Malaya

Keputusan Luqman untuk kembali ke Malaysia juga dilihat perkara yang tepat selepas kurang mendapat minit permainan bersama KV Kortrijk dan beberapa kelab disertainya sebagai pemain pinjaman.

Masih belum terlambat buat pemain berusia 23 tahun itu kembali mewarnai kariernya seperti rakan senegara, Arif Aiman Hanapi yang sudah sebaris pemain bintang-bintang Asia lain.

Sebelum Luqman, Malaysia sudah kehilangan empat pemain berstatus 'wonderkid' selepas gagal menampilkan prestasi terbaik di peringkat dewasa.

Majoriti senaraikan empat pemain 'wonderkid' Malaysia gagal meneruskan harapan orang ramai untuk melihat mereka berjaya:

Ash sewaktu menyarung jersi Kelantan.

1. Ash Hameed

Siapa yang masih mengingati pemain muda tempatan, Ash Hameed yang menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas berjaya melebarkan sayap bersama akademi Queen Park Rangers (QPR) pada usia 13 tahun.

Selepas empat musim berkelana di bumi England, Ash kembali ke Malaysia pada 2014 dengan menyertai pasukan Kelantan pada usia 16 tahun.

Pasukan Kelantan yang pada ketika itu dibimbing oleh George Boateng melihat wonderkid berkenaan mampu menandingi pemain utama skuad The Red Warriors (TRW) pada ketika itu.

Bagaimanapun, kariernya bersama skuad Kelantan tidak bertahan lama kerana berlaku sedikit perselisihan antara Ash dan pemain TRW, Wan Zack Haikal sehingga bintang muda itu terpaksa beraksi bersama pasukan baharu, Real Mulia FC.

Selepas tidak berjaya menembusi kesebelasan utama Real Mulia, Ash mula menyertai pasukan MIFA yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2016.

Pada 2017, dengan pengalaman yang ada, Ash dipanggil menyertai latihan pusar skuad Projek Sukan SEA 2017, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) selama lebih setahun.

Di usianya 22 tahun, sebuah kelab amatur, Pandan United Football Club (PUFC) berminat untuk mengembalikan semula prestasi Ash seperti dulu serta meningkatkan tahap fizikalnya.

Menjengah di laman Instagram pemain itu, Ash yang sudah berusia 27 tahun kini dilihat seperti sudah bersara daripada dunia bola sepak dan mewakili Malaysia dalam sukan Teqball.

Alias Alan kini beraksi bersama skuad muda Sabah.

2. Mohammad Alias Alan

Sebut saja Luqman Hakim dan Sikh Izhan Nazrel, pasti ramai mengenali kedua-dua pemain itu, namun nama Mohammad Alias Alan agak kurang popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Prospek negara itu cukup dikenali sebagai antara produk kelahiran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Akademi Mokhtar Dahari yang berjaya pada suatu ketika dahulu.

Dia yang pernah menyarung lilitan kapten bersama NFDP, Alias Alan berjaya membantu pasukannya mencipta sejarah apabila menjuarai kejohanan berprestij peringkat bawah umur, 2015 Ibercup Costa del Sol di Sepanyol.

Akan tetapi, selepas mengalami kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL), Alias Alan semakin kurang mendapat perhatian daripada mana-mana kelab.

Alias Alan juga pernah beraksi bersama Selangor FC II namun gagal menembusi pasukan utama kelab berpangkalan di Lembah Klang tersebut.

Perkembangan terbaharu mengenai pemain kelahiran Sabah itu difahamkan sedang beraksi bersama skuad muda Sabah.

3. Rozaimi Abdul Rahman

Nama Rozaimi Abdul Rahman sebelum ini dianggap sebagai antara bakat muda terbaik pernah dimiliki oleh negara sehingga kehebatannya di hadapan gawang lawan menyebabkan dia digelar ‘Neymar Malaysia’.

Namun, karier pemain berkenaan tidak berjalan dengan lancar apabila dia mengalami kecederaaan akibat kemalangan jalan raya pada 2015 dan ia merupakan antara perkara yang dilihat membantutkan potensi pemain itu.

Sebelum kemalangan berkenaan, Rozaimi berkhidmat dengan beberapa kelab liga Super antaranya Sabah FC, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor.

Selepas insiden menyayat hati menimpa penyerang itu, Rozaimi cuba untuk mengembalikan potensinya dengan menyertai Kedah pada musim 2020.

Rozaimi sempat melakukan sembilan penampilan bersama pasukan dari Utara tanah air itu sebelum kontrak beliau bersama Kedah ditamatkan secara persetujuan bersama.

Terkini, bekas penyerang Harimau Muda A itu merupakan pemain skuad muda Sabah dalam saingan Piala MFL.

4. Titus James Palani

Kira-kira 25 tahun lalu, seorang remaja asal Brickfields melakukan perkara tidak masuk akal apabila berjaya menimbang bola dengan rekod 5,680 kali dalam masa 1 jam 14 minit.

Malah pada tahun sama, dia menjuarai pertandingan menimbang bola, selepas berjaya membuat timbangan sebanyak 1,524 kali.

Remaja itu bernama Titus James Palani yang mana kejayaan tersebut membolehkan dia yang ketika itu berusia 13 tahun menerima cek berjumlah RM1,000, pingat dan sijil istimewa.

Kehebatannya juga menyebabkan dia satu-satunya wakil Asia yang terpilih menyertai akademi kelab divisyen satu Perancis iaitu Le Havre yang berkolaborasi bersama Union Sportis Quevilliase (USQ).

Akademi itu terkenal melahirkan bintang dunia antaranya Paul Pogba, Dimitri Payet dan Riyad Mahrez.

Ramai ketika itu berharap Titus bakal membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi suatu hari nanti.

Namun selepas tiba di Le Havre, ramai yang tertanya-tanya apa sudah jadi?

Berdasarkan laporan media, pemain yang pernah menjalani latihan ujian percubaan bersama Blackburn Rovers pernah bermain untuk kelab divisyen tiga Perancis iaitu CS Meaux.

Selepas Le Havre, Titus beraksi bersama banyak kelab liga bawahan di Perancis seperti Nanteuil SC, FC Villenoy dan Normandy tanpa mengecap sebarang kejayaan.

Bekas pengendali skuad bola sepak kebangsaan, mendiang B. Sathianathan pernah memanggilnya pulang untuk memperkuatkan Malaysia bagi menghadapi cabaran Sukan SEA di Korat.

Namun ia tidak berhasil kerana Titus berdepan kesukaran meninggalkan Perancis ekoran sudah memohon taraf kerakyatan di Perancis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram