Arab Saudi umum penalti lebih RM115,000 terhadap jemaah haji tanpa permit, pihak bersubahat


  • Benua
  • Selasa, 29 Apr 2025

Individu yang didapati menunaikan atau cuba menunaikan ibadah Haji tanpa permit akan dikenakan denda sehingga RM23,115. — Gambar Hiasan

KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan hukuman berat terhadap individu yang melanggar peraturan berkaitan permit Haji, termasuk tindakan tegas terhadap mereka yang membantu pelanggaran tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, kementerian memaklumkan bahawa hukuman itu berkuat kuasa bermula Isnin hingga 10 Jun, selaras dengan usaha mengawal ketenteraman dan keselamatan di kota suci Makkah sepanjang musim Haji.

Menurut kenyataan itu lagi, individu yang didapati menunaikan atau cuba menunaikan ibadah Haji tanpa permit akan dikenakan denda sehingga SR20,000 (RM23,115).

BACA LAGI : Jaga ibu bapa uzur, hidup lebih lama antara faktor wanita kurang 'saving' berbanding lelaki — Penasihat kewangan

BACA LAGI :  Dari hujah mahkamah ke doa liang lahad, Siti Rasidah teruskan legasi ibu galas tugas uruskan jenazah

Denda sama turut dikenakan ke atas pemegang visa lawatan yang cuba memasuki atau menetap di Makkah serta kawasan-kawasan suci dalam tempoh tersebut.

Selain itu, sesiapa yang memohon visa lawatan bagi individu yang terlibat dalam pelanggaran ini akan didenda sehingga SAR100,000 (RM115,575). 

Denda tersebut akan berganda mengikut bilangan individu yang terlibat.

Denda itu berkuat kuasa bermula Isnin hingga 10 Jun, selaras dengan usaha mengawal ketenteraman dan keselamatan di kota suci Makkah sepanjang musim Haji.

Turut dikenakan denda sama ialah pihak yang mengangkut, melindungi, atau menyediakan tempat tinggal kepada pemegang visa lawatan di Makkah, termasuk di hotel, apartmen, rumah persendirian, atau tapak penempatan jemaah. 

Ini meliputi sebarang usaha menyembunyikan kehadiran mereka atau memberi bantuan yang membolehkan mereka tinggal lebih lama.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian turut mengingatkan bahawa individu yang cuba menceroboh tanpa kebenaran, sama ada penduduk tetap atau mereka yang tinggal melebihi tempoh visa akan dihantar pulang ke negara asal dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

Kementerian juga memaklumkan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan untuk merampas kenderaan yang digunakan bagi mengangkut pemegang visa lawatan ke Makkah, sekiranya kenderaan tersebut dimiliki oleh pengangkut, pemudahcara, atau mana-mana pihak yang bersekongkol.

Langkah tegas itu diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan ibadah Haji tahun ini dan menjaga keselamatan para jemaah yang sah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram