
BAGI penyokong Sri Pahang FC, sepanjang musim mereka sudah pun kagum dengan persembahan pemain tengah iaitu Ibrahim Manusi.
Namun pada Sabtu, Ibrahim, 24, atau lebih mesra disapa sebagai Baim menunjukkan kepada seluruh negara kualitinya sebagai pemain tengah apabila tampil baik semasa bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
Persembahan baiknya membolehkan dia menerima jolokan Patrick Vieira versi Liga Super kerana kerasnya permainannya dan sifat tidak mengaku kalah di bahagian tengah.
Ibrahim Manusi (kiri) menjadi nadi penting Sri Pahang di bahagian tengah. — Facebook/Sri Pahang
Aksi ditampilkan oleh Baim memukau semua, malah penyokong Kuching City turut dilihat terpukau dengan persembahannya.
Malah, sudah timbul cakap-cakap meminta pengurusan kelab Sarawak itu untuk cuba mendapatkan Baim bagi menguatkan jentera serangan.
Dengan status Sri Pahang dalam Liga Super musim depan masih menjadi tanda tanya, ia dilihat sebagai peluang untuk The Cats untuk menyambar Baim dan membawanya ke Sarawak.
"Apa kata kalau Kuching City ambil dia?," kata penyokong bernama Shahrizal Azwady.
"Ini dapat beli murah sebab Sri Pahang akan disingkirkan ke liga bawahan atau dibubarkan," komen Falikh Farhan.
Musim ini, Baim menjadi watak penting buat bahagian tengah Sri Pahang apabila melakukan 24 penampilan dalam semua kejohanan.
Hasil daripada persembahannya itu, pastinya 'saham' Baim akan meningkat dan menjadi buruan banyak kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram