[VIDEO] Heberty akui Pahang sukar ditangani, Jun-heong terus cium Arif Aiman lepas selamatkan nasibnya


  • Podium
  • Ahad, 27 Apr 2025

Arif Aiman menjadi wira JDT dengan rembatannya memberi gol kemenangan buat Harimau Selatan. — Facebook/PialaMalaysia

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan apabila berhasil menoktahkan trofi keempat musim ini apabila menjulang Piala Malaysia selepas menumbangkan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Ahad.

Final edisi ke-98 ini bukan saja memperkukuhkan status JDT selaku pasukan terbaik di Liga Malaysia, malah ia kejuaraan Piala Malaysia kelima selepas memenangi pada 2017, 2019, 2022 dan 2023.

Bagaimanapun, kejayaan menjulang trofi ke-30 secara keseluruhan sejak tahun 2013 itu tidak mudah dicapai apabila skuad Tok Gajah memberi saingan sengit dan beberapa keputusan kontroversi pengadil juga menjadi ujian.

BACA LAGI: Arif Aiman tiada saingan, raih MVP 4 kali gambaran program pembangunan gagal tapi tetap bertuah dikelilingi 'push factor'

BACA LAGI: [VIDEO] Mutu pengadilan final Piala Malaysia: Penyokong JDT, Tok Gajah bercanggah pendapat

Pemain muda mereka, T. Saravanan terlebih dahulu meletakkan skuad kendalian Fandi Ahmad di hadapan menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk kedudukan 1-0 melewati separuh masa pertama.

Gaya permainan skuad Tok Gajah yang menghidang aksi penuh serangan pada separuh masa pertama itu juga diakui oleh penyerang Harimau Selatan iaitu Heberty dengan pemain import berkenaan menyifatkan mereka sukar ditangani.

"Mereka bermain dengan baik dan sangat kuat. Mereka bermain dengan banyak menyerang. Mereka mendapatkan gol pendahuluan sangat awal. Apabila separuh masa pertama selesai, kami bercakap dengan satu sama lain untuk kekal tenang dan bermain sahaja.

"Kami tahu dari awal ia akan sukar, lepas itu kami kehilangan pemain. Tapi kami teruskan permainan dan akhirnya dapat mencetak gol kemenangan," katanya ketika ditemui selepas final Piala Malaysia.

 

 

Sementara itu, bek tengah dari Korea Selatan iaitu Park Jun-heong menarik nafas lega apabila menyaksikan Arif Aiman Hanapi menjaringkan gol kedua buat Harimau Selatan dan sekali gus membantu JDT memenangi final berkenaan.

Kelegaan itu hadir selepas Jun-heong diarah keluar padang susulan dilayangkan kad kuning kedua selepas pemain berusia 32 tahun itu melakukan terjahan kerasnya hingga mengakibatkan kecederaan kepada tonggak Sri Pahang.

"Kami tidak terlalu baik pada separuh masa pertama tetapi kami memenangi piala ini. Saya sangat gembira ketika Arif Aiman menjaringkan gol kedua. Selepas perlawanan, saya cium dia (Arif Aiman) sebab dia dah selamatkan saya," kongsinya.

Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut berkenaan menjadi wira Harimau Selatan dengan rembatannya di sudut kanan menembusi gawang Zarif Irfan Hashimuddin untuk kedudukan 2-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram