Tawar Quaresma ketuai jentera serangan Sang Kenari, Kedah letak syarat


  • Podium
  • Khamis, 24 Apr 2025

Ricardo Quaresma bakal jadi pemain Kedah musim depan.

KEDAH Darul Aman FC secara terbuka menawarkan kepada bintang Portugal yang juga rakan Cristiano Ronaldo, Ricardo Quaresma peluang untuk beraksi dengan Sang Kenari bagi musim 2025/2026.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak kelab pada Khamis, Kedah bagaimana pun meletakkan syarat tertentu kepada pemain itu untuk beraksi dengan mereka, antaranya gajinya akan ditanggung oleh pihak penaja daripada Portugal.

Kedah menjelaskan yang usaha perbincangan antara mereka dengan pihak pemain itu sudah dilakukan sejak Mac 2025.

BACA LAGI: Kedah tawar bekas bintang Portugal jawatan TD, petanda sedia kembali menjadi pencabar Liga Super

BACA LAGI: 'Kedah pantang kalah', bekas jurulatih juga 'terasa', harap Sang Kenari kembali bangkit

"Pihak KDA FC telah membuat beberapa siri perbincangan bersama pihak Ricardo Quaresma untuk menyertai pasukan Liga Super KDA FC bagi musim 2025/2026 dengan syarat semua perbelanjaan Ricardo Quaresma ditanggung oleh pihak penaja tertentu.

"Dalam konteks ini, pihak KDA FC juga telah membuat beberapa siri perbincangan awal dengan pihak penaja dalam misi membawa Ricardo Quaresma bersama dengan KDA FC di musim baru.

"Ini adalah satu penghormatan kepada pihak KDA FC yang mendapat perhatian dan pertimbangan wajar daripada pihak penaja luar negara untuk menjadi penaja rasmi kepada Ricardo Quaresma sekiranya Ricardo Quaresma bersetuju menyarung jersi KDA FC di musim 2025/2026.

"Secara jujur, benih kepada perbincangan ini - samada melibatkan Ricardo Quaresma atau pihak penaja bagi pihak Ricardo Quaresma - telah pun bermula semenjak bulan Mac 2025," jelas Kedah.

Kedah mengatakan yang usaha ini merupakan petanda yang kelab masih bernyawa dan belum lagi 'berkubur' seperti ramai menyangka.

Oleh itu, pihak kelab bertekad menggunakan segala ruang yang ada untuk menghidupkan kelab yang dilihat seperti hendak karam.

"Pihak kami akan meneruskan inisiatif yang baik ini untuk bersiap sedia menyediakan sebuah pasukan yang lebih mampan di musim hadapan dan dalam masa yang sama membuat apa yang terbaik - dengan segala kekurangan masa dan dana - untuk melengkapkan syarat perlesenan bagi musim baru nanti.

"Mungkin ramai yang sudah membuat tanggapan bahawa KDA FC sudah "terkubur". Selagi ada ruang dan peluang, KDA FC akan tetap berusaha keras dan kuat untuk menyelematkan kelab KDA FC," kata Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram