
KEKURANGAN minat dalam kalangan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) terus menjadi isu yang membimbangkan sejak sekian lama.
Situasi itu berlaku di sebalik kepentingan bidang tersebut khususnya dalam memastikan kelangsungan kemajuan negara.
Terbaharu, trend negatif terbabit turut dilapor menimbulkan kebimbangan terhadap sektor kesihatan di Malaysia.
BACA LAGI: Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?
Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyuarakan kebimbangan terhadap penurunan minat pelajar terhadap aliran STEM yang disifatkan berpotensi menjejaskan bekalan pelajar ke jurusan perubatan pada masa depan.
Beliau berkata, walaupun terdapat 14,000 pelajar memperoleh keputusan cemerlang semua A, minat terhadap STEM dilihat semakin menurun sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung sumber tenaga manusia dalam sektor kesihatan negara.
Menurut beliau, aspek mengekalkan pakar, hala tuju kerjaya, elaun dan kebajikan pegawai kesihatan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan sektor perubatan kekal mampan dan mampu menarik minat generasi muda.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut mendapat perhatian warganet di media sosial.
Rata-rata daripada mereka yang memberikan komen turut berkongsikan pandangan mengenai beberapa punca utama berlakunya fenomena tersebut.
Antaranya termasuk tempoh latihan yang lama diperlukan untuk menjadi doktor, peluang peningkatan kerjaya yang tidak jelas dan juga tahap kebajikan kurang memuaskan terhadap pegawai perubatan yang berkhidmat di bawah sistem kesihatan kerajaan.
"Tujuh tahun selepas SPM baru boleh menjadi doktor. Masuk sebagai houseman (doktor pelatih) pula, dua tahun penuh dengan pelbagai tekanan, kerja dengan status kontrak, tiada jaminan jawatan tetap dan harapan untuk melanjutkan pelajaran.
"Waktu kerja minimum 14 jam sehari... Siapa lagi yang berminat untuk menjadi doktor?" soal Hafez Amri.
"Kerjaya dalam bidang perubatan tiada jaminan masa depan. Kerja dah 5 tahun pun masih kontrak lagi," tulis Rahmahsaid Salleh.
"Tunjukkan perkembangan kerjaya dan ada jaminan masa depan baru anak muda berminat. Jika yang sedia ada masih terkapai-terkapai bidang apa sekalipun anak muda tidak gemar untuk ceburi," ujar Faiz Juha.
"Dulu, ramai 'top student' (pelajar cemerlang) SPM yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di luar negara. Namun, sejak tiada lagi tajaan untuk melanjutkan pengajian perubatan di luar negara, kebanyakan pelajar cemerlang kini memilih tajaan dari syarikat korporat yang menawarkan ikatan pekerjaan serta peluang kenaikan kerjaya yang lebih meyakinkan.
"Malah, doktor yang baru tamat pengajian dan bekerja di hospital kerajaan juga masih berstatus kontrak, yang tidak setimpal dengan gaji dan beban kerja yang mereka tanggung," kata Hasnita Faisal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram