Tragedi Putra Heights: Kontraktor antara 179 individu dirakam keterangan — Polis Selangor


  • 112
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Sebanyak 179 keterangan direkodkan bagi membantu siasatan insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sebanyak 179 keterangan direkodkan daripada pelbagai pihak bagi membantu siasatan insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights dekat Subang Jaya, Selangor sejak 1 April lalu sehingga Jumaat.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Polis Selangor pada Sabtu, pihak polis menyatakan bahawa kesemua 179 keterangan tersebut melibatkan 138 mangsa, seorang wakil agensi petugas, 10 individu daripada pihak pemaju/kontraktor, empat daripada pihak Petronas, dua wakil pihak berkuasa tempatan serta seorang petugas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BACA LAGI : Tragedi Putra Heights: 39 masih dirawat, seorang di ICU

BACA LAGI : [VIDEO] Tujuh mangsa kebakaran gas bocor di Putra Heights diselamatkan, bomba bantu penduduk kena bahang pindah

Selain itu, keterangan turut diambil daripada seorang profesor madya dalam bidang kejuruteraan dan binaan dari sebuah universiti tempatan, lapan saksi daripada kalangan anggota polis serta 14 individu lain yang berkaitan.

"Setakat pukul 6 petang Jumaat, sebanyak 769 laporan polis telah diterima berkaitan kemalangan ini," menurut kenyataan tersebut.

Kerja-kerja pemulihan dan penilaian kerosakan sedang giat dijalankan dengan kerjasama 11 agensi sahabat bersama PDRM. 

Polis Selangor turut memaklumkan bahawa hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi setakat ini iaitu di Masjid Putra Heights, yang menempatkan seramai 301 orang daripada 78 keluarga yang terkesan akibat insiden tersebut.

Bagi menjaga keselamatan harta benda mangsa yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah digerakkan untuk melakukan kawalan keselamatan secara berterusan selama 24 jam di kawasan terlibat.

Sementara itu, kerja-kerja pemulihan dan penilaian kerosakan sedang giat dijalankan dengan kerjasama 11 agensi sahabat bersama pihak polis. 

Antara agensi yang terlibat termasuklah Koridor Utiliti Selangor (Kusel), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Siasatan menyeluruh masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan langkah keselamatan seterusnya dapat dilaksanakan secara berkesan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram