
"TIADA istilah habis madu, sepah dibuang buat bekas atlet negara."
Ungkapan tersebut amat tepat menggambarkan peranan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang sentiasa komited dalam menjaga kebajikan bekas atlet negara meskipun mereka telah menamatkan karier sukan masing-masing.
Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kebajikan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara sentiasa menjadi keutamaan yayasan itu.
BACA LAGI: Khalid Jamlus, Norsham Yon antara 8 legenda sukan dirai Encorp, Majoriti sempena Aidilfitri
BACA LAGI: Yakeb berhasrat dekati Lee Chong Wei, Nicol Ann David bantu atlet veteran
Menurut beliau, Yakeb dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan tersebut terutamanya dalam aspek perubatan.
“Usaha ini dilakukan bagi membela nasib bekas atlet negara yang berdepan kesulitan hidup, terutamanya mereka yang tidak berkemampuan untuk menanggung kos rawatan,” katanya kepada Majoriti.
Tambah beliau, bekas atlet yang berdaftar dengan Yakeb layak mendapat pengecualian caj perubatan apabila menerima rawatan di wad kelas kedua hospital kerajaan.
“Buat masa ini, kita menyediakan perkhidmatan bantuan yang termampu, bagi membantu bekas atlet membina kehidupan baharu selepas bersara daripada dunia sukan. Kita juga mempunyai beberapa skim khas bagi menampung kos rawatan perubatan mereka,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada KBS atas sokongan padu dalam menyediakan Pakej Rawatan Kelas Kedua di hospital kerajaan, khas untuk ahli Yakeb.
“Pakej ini memberi keselesaan kepada bekas atlet untuk mendapatkan rawatan dengan kadar yang setara seperti penjawat awam lain. Ini satu keistimewaan besar buat mereka,” katanya lagi.
Jelas beliau, usaha ini akan terus diperkasa dengan kerjasama erat bersama KKM bagi memastikan bekas atlet, khususnya yang menghidap penyakit serius, menerima rawatan terbaik di institusi kesihatan awam.
Sebagai rekod, Yakeb kini menawarkan 12 Skim Bantuan Khas yang merangkumi khairat kematian ahli dan pasangan, bantuan perubatan bagi penyakit kritikal dan tidak kritikal, rawatan pesakit luar di hospital kerajaan serta bantuan pembelian alat sokongan perubatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram