'Harap ikut jejak Terengganu', kerajaan Selangor pertimbang larangan jual vape


  • Primer
  • Jumaat, 25 Apr 2025

Kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat khas berhubung pertimbangan untuk melarang penjuala vape. — Gambar hiasan

MESYUARAT khas bersepadu akan diadakan oleh kerajaan Selangor bagi mengkaji keperluan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di negeri itu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, perbincangan itu juga melibatkan Pejabat Menteri Besar dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Jamaliah berkata, ia juga dijangka melibatkan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh tentang penguatkuasaan, aspek perundangan dan kesan sosio-ekonomi.

 

BACA LAGI: ‘Bella Braders’ belasah pemuda sampai lunyai di Plentong mengaku salah, dibenar ikat jamin

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah macam mafia', pemandu diserang, kereta lumat dikerjakan geng bertopeng ketika parkir

 

"Di peringkat persekutuan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS berperanan penting dalam mengawal selia pendaftaran, penjualan dan penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan vape mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

"Di peringkat kerajaan negeri pula, lesen perniagaan dikawal selia oleh kerajaan tempatan dan lesen yang dikeluarkan adalah khusus untuk penjualan peralatan elektronik bukan untuk vape atau cecair.

"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa sebarang keputusan adalah berdasarkan kajian terperinci dan mengambil kira kepentingan kesihatan awam, keberkesanan penguatkuasaan dan kesejahteraan rakyat Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Beliau pada masa sama menghargai keprihatinan semua pihak termasuk cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini.

Pihaknya juga kami komited untuk meneliti isu tersebut secara menyeluruh dan inklusif.

Pertimbangan kerajaan Selangor itu turut mendapat reaksi positif di media sosial apabila ramai berharap agar langkah tersebut dapat direalisasikan, sekali gus mengikut jejak Terengganu. 

"Semoga Selangor ikut jejak Terengganu. Vape ini banyak ruang untuk disalahgunakan oleh penjual," komen Abu Amru

Pada Khamis lalu, kerajaan Terengganu mengumumkan akan menguatkuasakan larangan penjualan produk vape di semua premis di negeri itu mulai 1 Ogos 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram