Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?


  • Bizz
  • Khamis, 24 Apr 2025

MARDI memulakan penyelidikan terhadap pengeluaran biji kopi Liberica sejak 1980-an.

SEJAK akhir-akhir ini, harga kopi global mengalami lonjakan signifikan impak dairpada perubahan cuaca ekstrem di negara pengeluar utama seperti Brazil dan Vietnam. 

Keadaan cuaca tidak menentu termasuk kemarau panjang dan hujan lebat mengganggu pengeluaran kopi, menyebabkan penurunan hasil tanaman dan kualiti biji kopi. 

Sebagai contoh, harga biji kopi jenis Arabica mencecah hampir AS$3.50 satu paun (0.45 kilogram) pada Disember 2024, mencatatkan paras tertinggi sejak 1977, dengan kenaikan yang mengejutkan sebanyak 83 peratus (2024).

BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online

BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis

Sementara itu, biji kopi Robusta, yang kebanyakannya digunakan dalam kopi segera, turut mengalami lonjakan harga meningkat sebanyak 73 peratus kepada AS$5,885 (RM26,501) satu tan pada November 2024 disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Di tengah-tengah ketidakstabilan, ia mendorong dunia untuk melihat kepada alternatif biji kopi lain untuk menstabilkan bekalan dunia.

Antaranya termasuk kopi Liberika, yang berasal dari Afrika Barat dan yang mana Malaysia merupakan antara pengeluar utamanya.

Setakat ini, kadar pengeluaran Liberica menyumbang kurang daripada 2 peratus daripada kopi global.

Pengeluaran kopi dunia pada waktu ini didominasi oleh dua jenis biji kopi utama iaitu Arabika sekitar 70 peratus dan Robusta 28 peratus.

Dalam pada itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) merupakan antara pihak aktif melakukan kajian terhadap pembangunan pengeluaran biji kopi Liberica.

Untuk itu, Majoriti menemu bual pegawai kanan Penyelidikan Pusat Penyelidikan Tanaman Industri MARDI, Noor Syahira Nasarudin bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkembangan pengeluaran kopi Liberica di Malaysia dan potensinya dalam mengisi keperluan bekalan global.

1. Boleh kongsikan mengenai penyelidikan yang dilaksanakan Mardi berkaitan biji kopi Liberica?

MARDI memulakan penyelidikan berkaitan kopi sejak 1980-an. Penyelidik perintis merupakan seorang pembiak baka. Beliau mengumpul bahan genetik daripada dalam dan luar negara, lalu membangunkan koleksi yang dikenali sebagai germplasm collection — iaitu bahan genetik untuk kopi jenis Liberika, Robusta, dan Arabica.

Koleksi ini dibangunkan di MARDI Kluang, yang menjadi pusat R&D utama untuk kopi. Penyelidikan intensif mula dijalankan sekitar tahun 1990-an.

Pegawai kanan Penyelidikan Pusat Penyelidikan Tanaman Industri MARDI, Noor Syahira Nasarudin.

Fokus utama ketika itu adalah untuk membangunkan baka-baka kopi baharu yang mempunyai hasil dan rasa yang tinggi. 

Dahulu, baka yang dibawa masuk bercampur-campur, jadi hasilnya pun tidak seragam. Maka, lahirlah pelbagai baka baharu.

Menjelang tahun 2000, penyelidikan telah merangkumi agronomi dan pengurusan perosak dan penyakit (P&D – Pest & Disease). Mereka memasukkan aspek seperti serangan serangga dan penyakit tanaman ke dalam proses pemilihan baka.

Antara hasil penyelidikan ialah baka kopi Liberika dan Robusta yang diberi nama MKL (MARDI Kopi Liberika) dan MKR (MARDI Kopi Robusta). MKL dan MKR terdiri daripada klon dan juga varieti polyhybrid.

Bermula RMK12 (2021–2025), kerajaan memberi keutamaan kepada tanaman industri seperti kopi, kelapa, herba dan ubi. Maka, kami menghidupkan semula penyelidikan kopi. Kini, projek R&D dijalankan secara berstruktur dengan jangka masa 5 tahun.

Antara output penting yang telah dilancarkan pada 2023 termasuk pembangunan baka baharu serta teknik pembiakan bahan tanaman kopi menggunakan kaedah keratan, yang lebih cepat dan menjimatkan kos berbanding kaedah cantuman.

Kaedah keratan ini hanya memerlukan sayon (mata tunas) daripada klon yang telah diluluskan, dan boleh ditanam terus dalam media percambahan. Tempoh dari keratan hingga sedia tanam di ladang cuma sekitar 9 hingga 10 bulan, berbanding 1 tahun 9 bulan untuk cantuman.

R&D kami juga melibatkan aspek agronomi seperti pembajaan, kaedah pembiakan, tisu kultur, jarak tanaman, pemangkasan, dan teknik penjagaan tanaman kopi untuk meningkatkan produktiviti.

2. Bagaimana anda melihat tahap pengeluaran biji kopi Liberica di Malaysia?

Kalau tengok dari statistik Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), pada 2022 Malaysia berada di kedudukan ke-48 daripada 82 negara pengeluar kopi dunia. Tapi pada 2023, kita naik empat anak tangga ke tempat ke-44. Jadi, pengeluaran kita ada peningkatan.

Peningkatan pengeluaran ini mungkin juga hasil daripada peluasan kawasan penanaman oleh Jabatan Pertanian.

3. Negeri manakah yang menjadi pengeluar kopi Liberica di Malaysia?

Biji kopi Liberica mempunyai saiz yang lebih besar berbanding Arabica dan Robusta.

Kawasan utama adalah di selatan Semenanjung – Johor (terutama Kluang, Simpang Renggam, Batu Pahat), sedikit di Melaka dan Negeri Sembilan. Selangor dan Perak belum banyak dilibatkan secara rasmi dalam statistik. Tapi sekarang banyak negeri mula berminat, seperti Perak yang sedang menawarkan tanah kepada pengusaha untuk tanam kopi.

Tanah di Kluang jenis tanah mineral sesuai untuk Liberika. Jadi, mana-mana kawasan bertanah mineral sepatutnya sesuai untuk ditanam kopi jenis ini.

Di Malaysia, terdapat dua musim utama tuaian kopi: satu pada pertengahan tahun sekitar bulan Mei hingga Julai, dan satu lagi pada hujung tahun antara Disember hingga Januari. 

Namun, buah kopi boleh dituai sepanjang tahun, dan petani disaran memetik hasil secara konsisten bagi mengekalkan produktiviti pokok. 

Pokok kopi yang dijaga rapi mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram buah setiap musim, walaupun berusia 30 tahun ke atas.

4. Harga kopi dunia baru-baru ini menyaksikan berlakunya peningkatan harga komoditi tersebut susulan daripada beberapa isu antaranya masalah perubahan cuaca yang berlaku di negara pengeluar utama seperti Brazil. Bagaimana anda melihat potensi Liberica untuk mengisi keperluan ketidaktentuan bekalan kopi dunia.

Untuk menjadi pengganti mungkin tidak. Cumanya saya lihat Liberica boleh menjadi penyokong kepada bekalan kopi dunia.

Sebenarnya, kalau ikut kajian, Liberica ini sememangnya sudah dikenal pasti sebagai salah satu spesies kopi yang boleh dijadikan sebagai tambahan kepada Arabica dan Robusta.

Arabica perlukan suhu rendah, jadi bila dunia makin panas, hasilnya makin kurang. Arabica juga sangat mudah diserang penyakit karah daun (coffee leaf rust). Sebaliknya, Liberika lebih tahan dan tidak terjejas sangat hasilnya walaupun ada jangkitan.

Trend global pun menunjukkan pengeluaran Arabica menurun, Robusta meningkat. Liberika pula sangat kecil pengeluarannya — hanya sekitar 1 peratus hingga 2 peratus daripada jumlah global. Tapi yield (hasil sehektar) kita tinggi. Jadi, walaupun kawasan penanaman kecil (kira-kira 3,000 hektar), hasilnya berpotensi tinggi.

Baka yang kita ada sememangnya berpotensi untuk menghasilkan sehingga 25 hingga 26 tan sehektar, sekiranya pengurusan tanaman dilakukan dengan baik dan mengikut kaedah kejuruteraan pertanian yang betul

Kalau negara lain nak gantikan Arabica mereka dengan Liberika, kita ada kelebihan dari segi kepakaran dan baka yang telah diselidik. Kita cuma perlukan lebih promosi dan penyebaran hasil kajian kita.

5. Adakah terdapat perbezaan daripada segi kualiti kopi Liberica berbanding spesies lain seperti Arabica dan Robusta?

Sebenarnya, berdasarkan kajian yang kami jalankan di MARDI, apabila kami bandingkan produk kopi Liberika tempatan dengan kopi Arabica dan Robusta yang ada di pasaran, hasilnya sangat memberangsangkan. 

Kami menilai kualiti kopi ini menggunakan enam parameter utama, termasuk kandungan fenolik, aktiviti antioksidan, kandungan kafein, dan kandungan asid klorogenik (chlorogenic acid – GCA).

Plot penyelidikan kopi yang berada di MARDI, Serdang, Selangor.   

Hasil perbandingan menunjukkan nilai kualiti kopi Liberika kita adalah lebih tinggi berbanding Arabica dan Robusta. Maksudnya, dari segi komponen kimia dan nilai nutrisi, kopi Liberika tempatan sebenarnya mempunyai kelebihan.

Namun begitu, cabarannya sekarang adalah untuk membiasakan orang ramai dengan rasa dan aroma kopi Liberika itu sendiri. Berdasarkan kajian, kopi Liberika mempunyai profil rasa yang lebih beraroma, dengan nota 'nutty' dan 'chocolatey'. Kadangkala, pengusaha akan menonjolkan ciri ini dengan menghasilkan minuman yang lebih pekat dan berperisa kuat.

Sebaliknya, kopi Arabica yang lebih dikenali di pasaran global memiliki rasa lebih ringan atau 'mild', tetapi dengan aroma yang menyenangkan selepas dipanggang. Oleh itu, bagi mereka yang sudah terbiasa dengan Arabica, rasa kopi Liberika mungkin terasa agak berbeza.

6. Pada waktu ini, Liberica hanya menyumbang dua peratus daripada pengeluaran kopi dunia. Apakah cabaran perlu ditangani untuk membolehkan peningkatan bekalan Liberica kepada bekalan kopi dunia dan sekali gus menyamai biji kopi jenis Arabica dan Robusta.

Cabaran utama untuk meningkatkan pengeluaran Liberika di Malaysia ialah kekurangan bahan tanaman dan kurangnya kesedaran awam. Kebanyakan pengguna hanya mengenali Arabica dan Robusta. Di kedai kopi, ramai tidak tahu jenis kopi yang digunakan, apatah lagi menyedari bahawa ada kopi tempatan jenis Liberika.

Walaupun begitu, terdapat beberapa pengusaha tempatan yang komited terhadap Liberika seperti MyLiberica dan House of Kendal. Produk mereka 100 peratus berasaskan Liberika dan mereka sudah mula menembusi pasaran eksport. Ini menunjukkan potensi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran Liberika dunia.

Strategi pemasaran yang dicadangkan termasuk memposisikan Liberika sebagai produk niche dan memanfaatkan status "single origin" kerana baka MARDI ditanam secara khusus dan dikenalpasti. 

Malaysia juga boleh menjenamakan diri sebagai negara pengeluar utama kopi Liberika. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram