
EJEN2U merupakan syarikat pemula teknologi yang menyediakan platform digital bagi memudahkan pengurusan ejen dan kategori, terutamanya untuk syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Sejak dilancarkan pada 2019, Ejen2u dilapor sudah memproses nilai transaksi melebihi RM900 juta.
Jumlah itu melibatkan 600 pengasas jenama dan lebih 400,000 ejen yang berdaftar di bawah platformnya iaitu EjenGo.
Majoriti menemubual pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ejen2u International Sdn Bhd, Sheikh Ezaiddin.
1. Boleh kongsikan mengenai perkembangan terbaharu Ejen2u khususnya daripada segi operasi?
Selepas kami menerima dana daripada Khazanah Dana Impak, kami memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu dalam usaha memperkukuhkan dan memperkemaskan sistem kami agar lebih komprehensif.
Kami turut memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI) untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa.
AI ini membantu ejen dan pengasas perniagaan menjalankan operasi dengan lebih mudah. Ia juga dapat memberikan nasihat dari segi kemahiran pemasaran, strategi, serta maklumat yang relevan.
Kemudian, salah satu inisiatif yang bakal memberi impak besar ialah pengenalan program tajaan.
Tidak hanya menyediakan platform pengurusan ejen, Ejen2u turut menawarkan khidmat latihan keusahawanan kepada pengasas perniagaan dan ejen di bawahnya. — Ejen2u
Program ini bertujuan membantu orang ramai yang berminat untuk belajar tentang perniagaan dan keusahawanan.
Kami mengajar elemen asas dalam bidang tersebut dan menghubungkan peserta dengan pengasas serta jenama di bawah naungan kami.
Program ini dijangka mendapat tajaan daripada institusi kewangan, agensi kerajaan, sektor swasta dan pelbagai pihak lain.
2. Secara asasnya, apakah bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh Ejen2u?
Ejen2u secara umumnya membantu pengasas perniagaan mengurus ejen dan reseller mereka secara digital.
Apa yang kami tawarkan bukan sekadar pembangunan sistem, tetapi menyediakan keseluruhan ekosistem yang menyokong perjalanan perniagaan mereka dari pelbagai sudut.
Sebagai contoh, pengasas memerlukan sistem untuk mengurus ejen, manakala ejen pula memerlukan ilmu keusahawanan untuk menjual dengan lebih efektif.
Bagi memudahkan proses ini, kami turut menyepadukan elemen teknologi dan perkhidmatan kewangan dan AI dalam platform kami.
Jadi, apabila sesebuah perniagaan—seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) — mendaftar dengan Ejen2u, mereka bukan sahaja mendapat akses kepada sistem, malah turut menerima latihan keusahawanan dan kemudahan berkaitan kewangan yang boleh membantu pertumbuhan perniagaan mereka.
Contohnya, jika seorang pengasas produk kecantikan memiliki 100 orang ejen, apabila mereka menyertai Ejen2u, semua ejen itu akan didaftarkan ke dalam platform di bawah jenama mereka sendiri.
Ini membolehkan pengasas mengurus semua ejennya secara digital.
Pengurusan ini meliputi pelbagai aspek—misalnya, ejen boleh membuat pesanan restock terus melalui platform, dan pengasas boleh memantau prestasi jualan ejen secara berterusan.
Mereka juga boleh menganalisis prestasi setiap ejen untuk mengenal pasti siapa yang cemerlang dan siapa yang memerlukan sokongan tambahan.
Di samping itu, sistem kami turut membantu kedua-dua pihak—pengasas dan ejen—untuk mengembangkan pasukan masing-masing.
3. Boleh kongsikan idea yang mencetuskan kepada syarikat Ejen2u?
Sebenarnya, saya sendiri bermula dalam bidang pembangunan perisian. Saya mulakan dengan sebuah software house, dan projek pertama saya adalah membangunkan satu sistem untuk sebuah jenama yang menjual produk bayi.
Dari situ saya mula nampak impak yang sangat besar. Walaupun saya hanya membantu satu pengasas jenama, secara tidak langsung saya sebenarnya membantu lebih 300 orang ejen di bawah jenama tersebut.
Sheikh Ezaiddin berkata, Ejen2u memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI) untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa. — Ejen2u
Apa yang mengejutkan, dalam masa hanya tiga bulan, jualan ejen ini meningkat dengan ketara sehingga lebih 70 peratus.
Ini kerana dengan adanya sistem digital, semuanya menjadi lebih cekap. Proses kerja mereka lebih teratur, kurang bergantung pada urusan manual seperti mesej WhatsApp, dan perkongsian bahan jualan pun jadi lebih mudah.
Daripada situ, saya mula berfikir—kenapa kita hanya bantu satu pengasas? Sedangkan bila kita bantu satu pengasas, kita sebenarnya bantu ratusan usahawan mikro dan nano di bawahnya.
Jadi kenapa tidak wujudkan satu platform yang boleh mengumpulkan lebih banyak jenama?
Bayangkan kalau kita ada 100 jenama, dan setiap satu ada purata 300 orang reseller. Itu bermaksud kita sudah mampu membantu lebih 30,000 orang usahawan kecil.
Daripada situ kami sedar, kami bukan sahaja membantu pengasas-pengasas jenama, tetapi juga reseller dan 85 peratus daripada mereka adalah wanita. Malah, majoriti daripada mereka adalah suri rumah yang berniaga dari rumah.
Sebab itulah kami perkenalkan pelbagai inisiatif seperti latihan keusahawanan, AI, dan penyelesaian teknologi kewangan.
Semuanya bertujuan untuk menyokong golongan wanita ini agar mereka dapat menjana pendapatan, membina perniagaan sendiri dan berdikari, walaupun dari rumah.
4. Seperti yang diketahui, bidang pemasaran melalui beberapa perkembangan baharu khususnya dengan kehadiran media sosial yang turut menjadi platform bisnes? Adakah trend tersebut memberikan kesan terhadap operasi syarikat khususnya PKS yang mendapatkan perkhidmatan Ejen2u?
Bagi saya, perkembangan ini sebenarnya memberi impak cukup baik. Sebab itu juga kami selalu tekankan kepada pengasas jenama yang banyak daripada mereka cenderung kekal dengan satu saluran (pemasaran) sahaja.
Kalau mereka bermula dengan retail, mereka hanya fokus pada retail. Kalau guna ejen atau reseller, mereka hanya tumpu pada model itu sahaja. Kalau pilih TikTok, maka semua tenaga dan fokus diberikan pada TikTok sahaja.
Saya rasa kehadiran pelbagai saluran media sosial ini sebenarnya sedikit sebanyak mengganggu fokus mereka, terutamanya pada peringkat awal. Tapi biasanya selepas setahun mencuba, barulah mereka mula nampak gambaran lebih jelas.
Contohnya, bila mereka mula cuba TikTok, pada mulanya semua terasa sangat aktif dan berpotensi. Tapi lama-kelamaan, mereka sedar bahawa TikTok sebenarnya sesuai untuk mereka yang bersedia menjadi content creator atau influencer.
Bukan semua pengasas jenama selesa dengan peranan itu. Bukan semua orang boleh jadi seperti Khairul Aming.
Daripada situ mereka mula sedar penting untuk ada pelbagai saluran. Mereka perlu ada retail, perlu ada TikTok, dan pada masa yang sama, perlu juga ada jaringan reseller. Setiap satu saluran ini sebenarnya memainkan peranan yang berbeza.
Jadi jenama yang bijak ialah jenama yang tahu bagaimana menggabungkan semua ini sebagai satu strategi menyeluruh.
5. Apakah antara kesilapan dikesan oleh Ejen2u dilakukan oleh PKS dalam operasi dan pengembangan perniagaan mereka?
Kebanyakan pengasas sebenarnya masih kurang faham tentang pengurusan kos terutamanya apabila melibatkan struktur komisen.
Sebagai contoh, kalau mereka guna TikTok Shop, mereka akan dikenakan caj sekitar 20 peratus yang mana jumlah itu akan pergi terus kepada TikTok.
Tetapi dalam model ejen, 20 peratus itu diagihkan kepada ejen-ejen.
Ia boleh melibatkan beberapa peringkat seperti leader, ejen, dan dropship. Contohnya, mungkin 10 peratus untuk leader, 5 peratus untuk ejen, 5 peratus untuk dropship bergantung pada struktur.
Masalahnya, ramai founder gagal mengenal pasti struktur komisen yang sesuai untuk jenama mereka sendiri. Mereka cenderung untuk meniru model orang lain. Contohnya tengok ada jenama itu buat begini, mereka pun ikut cara sama.
Tapi mereka lupa, setiap produk ada kos yang berbeza, margin keuntungan tak sama, dan strategi pemasaran pun tak serupa.
Inilah cabaran utama yang kami nampak ramai masih keliru dari segi pengiraan kos dan struktur agihan komisen.
Di sinilah AI yang kami bangunkan memainkan peranan. Kalau dulu, untuk faham semua ini, mereka terpaksa pergi ke kelas atau sesi coaching.
Tapi sekarang, dengan sistem kami, mereka hanya perlu akses AI dan terus dapat jawapan.
Mereka boleh tahu berapa peratus komisen sesuai diberikan, berapa tier yang perlu ada, dan boleh buat unjuran keuntungan dengan lebih tepat.
Semua pengiraan ini kami bantu lakukan secara automatik, supaya pengasas boleh fokus pada strategi dan pengembangan jenama mereka.
6. Daripada 800 perniagaan yang berada di bawah Ejen2u, adakah terdapat sektor perniagaan tertentu yang mendominasi?
Kalau ikut data terkini dalam platform kami, kategori paling popular dalam kalangan pengasas dan reseller sekarang adalah produk kecantikan. Itu yang paling tinggi.
Di tempat kedua adalah produk kesihatan seperti suplemen dan vitamin. Sementara kategori ketiga paling aktif pula adalah makanan, termasuk makanan sedia dimakan dan produk-produk F&B yang lain.
7. Berapakah nilai transaksi diuruskan Ejen2u kini?
Platform dibangunkan Ejen2u dijangka bakal mencapai nilai RM1 bilion pada tahun ini. — Ejen2u
Setakat ini, jumlah keseluruhan transaksi dicapai melalui platform kami adalah sekitar RM900 juta. Itu adalah angka terkumpul sejak kami mula beroperasi.
Apa yang menarik, pola pertumbuhan memang sentiasa menaik. Pada peringkat awal, jumlah pengasas yang bersama kami masih kecil, jadi nilainya pun tidak besar.
Tapi dari tahun ke tahun, apabila semakin ramai pengasas dan reseller menyertai, jumlah transaksi turut meningkat secara konsisten.
Kini, kami hampir mencapai angka RM1 bilion. Saya percaya menjelang hujung tahun ini, kami mampu capai ambang tersebut.
8. Bagaimana Ejen2u menjana pendapatan daripada perkhidmatan disediakan?
Sistem kami beroperasi berdasarkan model langganan, di mana pengasas perlu melanggan untuk menggunakan platform pengurusan mereka.
Selain itu, satu lagi sumber pendapatan kami datang daripada program latihan dan pembangunan keusahawanan yang kami jalankan.
85 peratus ejen di bawah platform Ejen2u ialah wanita. — Ejen2u
Program ini biasanya ditaja oleh pelbagai pihak seperti institusi kewangan dan agensi kerajaan.
Contohnya, baru-baru ini, sebuah bank telah menjadi penaja utama untuk salah satu program kami.
Fokus utama program ini adalah upskilling - iaitu meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan peserta.
Namun, kami memberi penekanan khas kepada golongan wanita kerana majoriti reseller dalam platform kami adalah wanita, khususnya suri rumah dan usahawan mikro.
Jadi, inisiatif kami bukan sahaja menjana pendapatan melalui langganan, tetapi juga memberi impak sosial melalui program yang menyokong pembangunan wanita dalam dunia keusahawanan.
9. Apakah matlamat akhir yang ingin dicapai Ejen2u?
Sebenarnya, sebelum kami mula Ejen2u secara rasmi, saya dan dua lagi rakan pengasas sudah pun menetapkan satu matlamat utama yang menjadi pegangan kami hingga hari ini iaitu "An Entrepreneur in Every Home", atau "Satu Rumah, Satu Usahawan."
Kenapa kami pilih matlamat ini?
Kerana kami percaya keusahawanan adalah salah satu cara paling mudah dan efektif untuk orang ramai menjana pendapatan tambahan.
Bukan itu sahaja, melalui keusahawanan, seseorang itu berpeluang menjana pendapatan yang jauh lebih besar berbanding hanya bergantung pada pendapatan tetap.
Tapi kami bukan nak suruh semua orang berhenti kerja. Tidak. Apa yang kami cuba sampaikan adalah konsep pendapatan tambahan.
Contohnya, walaupun saya sendiri seorang CEO, kenapa tidak saya juga boleh menjual produk seperti susu atau makanan kesihatan sebagai side income?
Kalau dapat RM500, RM1,000 atau RM2,000 sebulan, itu dah cukup untuk bawa anak-anak bercuti, atau tampung kos hidup yang semakin meningkat.
Gaji tetap seperti RM2,500 sebulan, dalam keadaan kos sara hidup sekarang, memang sukar untuk kita katakan mencukupi.
Tapi jika seorang wanita, terutamanya suri rumah, boleh menjual dari rumah dan menjana RM500 ke RM2,000 sebulan, itu sahaja sudah cukup memberi impak besar kepada keluarganya.
Itulah matlamat utama kami sejak awal.
Kerana itu juga tahun ini kami melancarkan pelbagai program tajaan dengan sasaran memperkasa 10,000 orang melalui pelbagai latihan dan program keusahawanan.
Golongan sasaran kami ini terdiri daripada pelbagai latar belakang mereka mungkin baru nak mula sebagai ejen, atau mungkin bakal menjadi pengasas jenama sendiri.
Contohnya, kami telah bekerjasama dengan sebuah universiti dan berjaya melatih 400 mahasiswa.
Kami juga bekerjasama dengan sebuah bank untuk membangunkan 50 usahawan daripada golongan B40 di Sarawak.
Selain itu, kami turut bekerjasama dengan sebuah NGO bagi memperkasa 20 wanita termasuk ibu tunggal, OKU dan golongan yang kurang berkemampuan.
Semua ini hanyalah permulaan. Kami mahu terus memperbanyakkan program seperti ini agar lebih ramai orang mendapat peluang untuk menjana pendapatan, membina keyakinan diri, dan keluar daripada kitaran kesusahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram